SOP Thaipusam: Kerajaan makin hilang kepercayaan kaum India, kata Saravanan

SOP Thaipusam: Kerajaan makin hilang kepercayaan kaum India, kata Saravanan

SOP untuk perayaan Thaipusam mendapat kecaman daripada penganut Hindu.

Penganut Hindu sangat tidak berpuas hati dengan SOP Thaipusam yang diputuskan kerajaan, menurut M Saravanan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Prosedur operasi standard (SOP) Thaipusam ketat yang dikuatkuasakan ketika pelbagai kelonggaran diberikan kepada orang ramai di tempat lain semakin menghakis kepercayaan masyarakat India terhadap kerajaan, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Berucap sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves, Timbalan Presiden MIC itu mengingatkan bahawa rasa tidak puas hati kaum itu terhadap kerajaan menyumbang kepada kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

“Saya mesti merekodkan bahawa secara umum penganut Hindu di negara ini sangat tidak berpuas hati dengan keputusan ini (SOP kerajaan),” katanya.

“Mereka bertanya kepada saya mengapa ribuan boleh pergi membeli-belah di Pavilion, tetapi kehadiran di Batu Caves adalah terhad.

“Akhirnya, kami kehilangan kepercayaan masyarakat India.”

Turut menjadi sasaran terhadap ketidakpuasan hati dengan SOP ditetapkan, Saravanan berkata pihaknya telah sedaya upaya menyampaikan permintaan masyarakat India.

“Saya sebagai wakil masyarakat India telah menyampai perasaan dan permintaan masyarakat India,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata masyarakat India khususnya penganut agama Hindu tetap akur dan hari ini mereka dilihat mematuhi SOP dalam semua upacara melibatkan sambutan Thaipusam.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara (KPN) Halimah Mohamed Sadique berkata, segala keputusan ditetapkan bukanlah bawah bidang kuasanya, namun pihaknya turut menerima tempias yang sama.

“Bila saya umumkan keputusan, saya dan Datuk Saravanan dipersalahkan, bukan kami yang membuat keputusan, kami angkat permintaan pihak kuil kepada mesyuarat,” katanya dalam satu sidang media ketika meninjau sambutan Thaipusam di kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak di sini hari ini.

Terdahulu, Halimah mengumumkan SOP sambutan perayaan itu, antaranya menetapkan hanya upacara “paal koodam” atau menjunjung belanga berisi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan pada Thaipusam kali ini.

Upacara “paal koodam” dibenarkan bermula hari ini hingga 19 Jan, dengan penetapan jumlah kehadiran berbeza mengikut kuil, manakala acara “kavadi” serta gerai sementara tidak dibenarkan.

Upacara sembahyang mengikut sesi serta perjalanan dan pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.

Terdapat 12 sesi sembahyang pada 16 hingga 17 Jan, serta 19 Jan bermula 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi ditetapkan bagi 18 Jan bermula 5 pagi hingga 11 malam, dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing dan perlu disanitasi selepas setiap sesi tamat.

Susulan pengumuman itu, timbul dakwaan mengatakan kementerian itu tidak “mendengar” permintaan penganut Hindu yang menyambut perayaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.