
PETALING JAYA: Polis kini perlu menyiasat Azam Baki, selepas siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak menemui kepastian muktamad bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan kesalahan berhubung isu pemilikan saham, kata seorang Ahli Parlimen pembangkang.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah berkata, siasatan itu juga mesti merangkumi akaun bank, penyata bank dan “siapa yang memberi wang kepada remisier”.
“Polis dengan bantuan SC mesti memulakan siasatan kerana mesti ada seseorang yang memberikan wang untuk dagangan saham berkenaan,” katanya kepada FMT.
Sivarasa yang juga seorang peguam turut mempersoalkan sama ada dakwaan Azam sebelum ini, mengaitkan adiknya, Nasir dengan saham berkenaan adalah benar, memandangkan SC gagal membuktikan dakwaan itu.
“Adakah ini bermakna SC secara tersirat mengatakan wang itu bukan milik Nasir? Ini meletakkan tanggungjawab sekali lagi kepada Azam untuk menjelaskan dari mana datangnya wang itu,” katanya.
SC hari ini berkata, ia tidak menemui kepastian muktamad bahawa Azam melanggar undang-undang berhubung pemilikan saham berkenaan.
Dalam kenyataan ringkas, SC menyatakan ia telah menjalankan siasatan dan berdasarkan bukti yang ada “SC tidak dapat memastikan secara konklusif berlaku kesalahan di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).”
Seksyen 25(4) menetapkan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik benefisial sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.
Azam menafikan sebarang salah laku sebelum ini dan berkata pembelian lebih 4 juta saham dan waran dua syarikat tersenarai awam dilakukan adiknya menggunakan akaun dagangan beliau.
Katanya, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan ketika itu.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dijadualkan bermesyuarat esok bagi membincangkan isu Azam, namun ditangguhkan bagi mendapatkan pandangan undang-undang susulan bantahan Azam.