
Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, berkata lima perkara itu penting untuk demokrasi negara terutama Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
“MoU ini memberi kestabilan kepada politik nasional. Jadinya, saya berpandangan masa yang sesuai bagi PRU-15 bergantung kepada tahap penyebaran wabak Covid-19 dan keadaan ekonomi rakyat (contohnya jika terkesan akibat bencana alam seperti banjir dan sebagainya),” katanya menurut laporan Berita Harian.
Selain RUU Anti Lompat Parti, empat lagi perkara yang belum diselesaikan dalam MoU itu adalah badan kehakiman sentiasa bebas dari sebarang campur tangan mana-mana pihak; had jawatan Perdana Menteri tidak lebih 10 tahun; usul dan lulus RUU Perkhidmatan Parlimen untuk memastikan Parlimen menjadi institusi bebas dan pindaan Peraturan Mesyuarat bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan lebih teratur dan berkesan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, lima perkara itu adalah antara 18 perkara terkandung dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.
Setakat 19 Jan lalu, 13 daripada 18 perkara yang terkandung dalam MOU sudah dilaksana termasuk usaha mempercepatkan Undi18, pendaftaran pengundi secara automatik dan memperkukuhkan usaha ke arah pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.