Gambar tular anjing diwarna belang harimau bukan foto Bernama

Gambar tular anjing diwarna belang harimau bukan foto Bernama

Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus memaklumkan semakan mendapati ia merupakan foto lama yang pernah tersebar pada 2020 dan telah dikitar semula.

Foto yang tular di media sosial menunjukkan seekor anjing diwarnakan dengan belang menyerupai seekor harimau. (Gambar media sosial)
KUALA LUMPUR:
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menyangkal mengeluarkan foto yang tular di media sosial menunjukkan seekor anjing diwarnakan dengan belang menyerupai seekor harimau.

Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus, dalam kenyataan hari ini memaklumkan semakan mendapati ia merupakan foto lama yang pernah tersebar pada 2020 dan telah dikitar semula.

“Bernama tidak pernah mengeluarkan foto tersebut dan kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab memalsukan fakta kononnya foto itu dikeluarkan oleh Bernama,” katanya.

Foto yang dimuat naik di laman Facebook itu turut disertakan kapsyen dalam Bahasa Inggeris iaitu “Polis di Bahau Negeri Sembilan sedang mengesan seorang pemuda tempatan yang telah mewarnakan anjingnya seperti seekor harimau belang dan membiarkannya berkeliaran sehingga menakutkan beberapa orang mabuk yang lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri – Bernama.”

Setakat 7 malam ini, hantaran itu mendapat reaksi 40 individu dan telah dikongsi oleh enam pemilik akaun laman sosial berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.