Pembantu kedai dobi tak mengaku salah perdaya kontraktor RM100,000

Pembantu kedai dobi tak mengaku salah perdaya kontraktor RM100,000

Tertuduh didakwa memperdayakan Mohd Hafidz Mohd Ismail, 41, untuk mempercayai dia boleh membantu mendapatkan projek daripada Petronas Gas Berhad.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Persiaran Sukan, Seksyen 13, Shah Alam sekitar April 2018. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seorang pembantu kedai dobi didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memperdaya seorang kontraktor bagi mendapatkan projek penggantian saluran paip gas di Terengganu, empat tahun lepas.

Herisyam Abdul Wahid, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh didakwa memperdaya Mohd Hafidz Mohd Ismail, 41, untuk mempercayai dia boleh membantu mendapatkan projek “Engineering, Procurement, Construction & Commissioning (EPCC) for PGU-1 Pipeline Replacement in Terengganu Malaysia (Graphite)” daripada Petronas Gas Berhad hingga mendorong Mohd Hafidz menyerahkan wang tunai RM100,000.

Herisyam dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Persiaran Sukan, Seksyen 13 disini sekitar April 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM terdekat.

Fadhli turut memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama empat lagi pertuduhan yang telah didakwa pada 20 Jan lepas.

Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan ekoran anak guamnya hanya mampu mengumpulkan wang jaminan RM6,000 selain menanggung enam anak dan seorang isteri.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama empat lagi pertuduhan mengikut Seksyen 417 KK pada 21 Feb depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.