
Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata, ini akan membolehkan pelancong perubatan kembali ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan sejak tertangguh bermula awal 2020 memandangkan pelancongan perubatan menjana pendapatan sebanyak RM1.7 bilion pada 2019.
“Persatuan ini mempunyai 151 ahli hospital di seluruh negara dan kebanyakannya merawat pelancong perubatan, khususnya dari negara jiran.
“Bagaimanapun hospital swasta akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) secara ketat dengan melakukan saringan sebelum menerima mereka untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kuljit berkata, hospital swasta juga bersedia menerima pesakit yang dipindahkan dari hospital kerajaan sekiranya terdapat peningkatan pesakit yang tidak dijangka akibat varian Omicron di kemudahan kerajaan.
Katanya, hospital swasta akan terus menyokong kerajaan bagi meringankan beban kerana ia telah dimasukkan menjadi sebahagian daripada Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Covid-19 Kebangsaan.
“APHM juga menggesa orang ramai supaya mendapatkan suntikan dos penggalak seawal mungkin dan terdapat beberapa hospital swasta yang ketika ini membantu menyediakan suntikan itu.
“Hospital swasta juga akan membantu dalam pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun tidak lama lagi,” katanya.
Menurutnya, terbukti di seluruh dunia bahawa vaksinasi lengkap dengan dos penggalak mengurangkan tahap keseriusan pandemik dan telah menggalakkan pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Semalam, Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib seawal 1 Mac depan.
Bagaimanapun Pengerusi MPN Muhyiddin Yassin berkata, pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, sempadan hanya akan dibuka semula selepas perbincangan dilakukan dengan KKM, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Jabatan Imigresen.