Umum SOP awal untuk PRN Johor, SPR digesa

Umum SOP awal untuk PRN Johor, SPR digesa

Pengerusi Bersih, Thoman Fann berkata SPR tidak patut tunggu sehingga hari penamaan calon.

Bersih berkata, SPR perlu berusaha untuk mencapai peratusan keluar mengundi sekurang-kurangnya 75% pada PRN Johor.
PETALING JAYA:
Pemantau pilihan raya, Bersih, menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) untuk calon dan parti politik secepat mungkin, iaitu sebelum hari penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Pengerusinya, Thoman Fann berkata, ini akan memberi masa mencukupi kepada calon untuk membuat persediaan bagi mematuhinya.

Beliau berkata, SPR perlu berusaha mencapai peratusan keluar mengundi sekurang-kurangnya 75%, termasuk lebih 750,000 pengundi baharu daripada Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik (AVR).

“Bersih mahu melihat peratusan keluar mengundi lebih tinggi untuk Johor berbanding PRN Melaka dan Sarawak dengan peratusan keluar mengundi masing-masing ialah 65.85% dan 60.67%.

“Oleh itu, perlu ada kelonggaran SOP berkempen secara bersemuka dan perhimpunan dibenarkan, selagi mereka mematuhi garis panduan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka,” katanya kepada FMT.

Fann berkata, pengundi perlu menilai sendiri calon kerana ramai pengundi tidak celik internet dan tidak mengakses mana-mana platform media sosial.

Katanya, SPR telah menghentikan amalan menghantar kad mengundi kepada pengundi sejak PRN Melaka.

Beliau berkata, ini adalah inovasi berguna yang dilaksanakan SPR sejak 2019 yang menyaksikan setiap pengundi akan menerima kad tertera butiran pusat dan saluran mengundi.

“Kami melihat peningkatan dalam peratusan keluar mengundi sejak pilihan raya kecil (PRK) Semenyih ketika kaedah ini diperkenalkan.”

Fann berkata, ceramah patut dibenarkan berdasarkan kadar vaksinasi tinggi di Johor dan kadar kemasukan ke hospital lebih rendah untuk individu yang dijangkiti varian Omicron.

“Ini perlu dibenarkan selagi SOP dipatuhi, termasuk penjarakan sosial dalam susunan tempat duduk. Calon dan petugas parti yang akan bergerak ketika berkempen perlu menjalani ujian kendiri RTK setiap hari untuk memastikan mereka tidak menyebarkan virus.”

PRN Johor akan diadakan 12 Mac ini dengan hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 26 Feb serta 8 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.