
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, berkata negara sepatutnya berada di laluan lebih strategik untuk memulihkan semula industri yang belum stabil.
“Menurut Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia, negara perlu menambah lebih 600,000 pekerja asing menjelang 2022 untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja kritikal yang dihadapi pada masa ini untuk membawa perniagaan kembali ke tahap pra-pandemik.
“Ia juga didapati industri elektrik dan elektronik (E&E), makanan dan minuman, kimia dan produk kimia, logam fabrikasi dan produk getah antara lima sub sektor pembuatan teratas yang paling terjejas akibat kekurangan ini,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Saravanan berkata, mesyuarat Kabinet memutuskan memorandum persefahaman (MoU) pengambilan pembantu rumah perlu dimeterai segera.
Beliau berkata, MoU itu akan dimeterai beliau dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Ida Fauziyah.
Pada 24 Jan lalu, Malaysia dan Indonesia dilaporkan bersetuju melaksanakan projek rintis pengambilan 10,000 pekerja Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) mulai bulan ini, selepas MoU ditandatangani.
Dalam pada itu, Maria berkata, negara juga menghadapi masalah ketidakpadanan permintaan pasaran pekerja dengan graduan berpendidikan.
Beliau berkata, gaji ditawarkan terlalu rendah untuk pekerja, namun industri enggan bertindak balas dengan sewajarnya dan kerajaan pula tidak memainkan peranan mereka menyelesaikan masalah itu.
Beliau menggesa gaji minimum RM1,200 dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM1,500 menjelang tahun ini, bukannya ditangguhkan kerana mengambil kira kesan ekonomi kepada pekerja.
Katanya, pengambilan pekerja asing memerlukan pengurusan sistematik dan profesional antara Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kementerian berkaitan.
Katanya, KDN paling tidak menyokong isu pekerja asing dan bertindak menyekat kemasukan pekerja asing.
“Layanan buruk terhadap pekerja asing dan pengusiran hanya sebahagian daripada isu belum diselesaikan. Namun begitu, apabila menteri mengumumkan kemasukan pekerja asing ke dalam industri, halangan birokrasi nampaknya berkurangan.
“Mesti ada konsistensi dalam pengambilan serta kawalan ke atas aliran masuk untuk melindungi pekerja tempatan kita. Dasar imigresen yang ‘cincai’ tidak membantu ekonomi kita.”