BN ‘malar segar’, tak pernah gagal fahami golongan muda, kata Zahid

BN ‘malar segar’, tak pernah gagal fahami golongan muda, kata Zahid

Pengerusi BN berkata parti itu dibarisi gandingan pimpinan lama dan baharu yang padat dengan pengalaman.

Muda bukan tentang usia parti, namun dasar dan agenda yang akan memanfaatkan golongan muda mahupun lama, kata Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi.
JOHOR BAHRU:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengundi muda bahawa parti gabungan itu bersifat “malar segar” malah tidak pernah gagal atau terkhilaf dalam memahami aspirasi golongan muda.

Dalam hantaran di Facebook rasminya beliau menyifatkan BN tetap relevan sejak 1973 dan perkara itu penting untuk pengetahuan pengundi muda dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

“Muda bukan tentang usia parti, namun dasar dan agenda yang akan memanfaatkan golongan muda mahupun lama,” katanya.

Presiden Umno itu berkata, selain itu BN adalah parti gabungan yang padu, kukuh, konsisten dan mampan berbanding parti gabungan lain dan kesalasilahan BN sebagai sebuah gabungan parti politik daripada rakyat untuk rakyat tidak pernah diabaikan selain memancarkan kestabilan sepanjang mentadbir negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, BN dibarisi gandingan pimpinan lama dan baharu yang padat dengan pengalaman, pengetahuan, idea serta inspirasi yang segar dan baharu, sekali gus mengangkat kepentingan rakyat setiap kaum, agama, jantina dan peringkat umur.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian dengan hari penamaan calon pada 26 Feb, manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.