Kertas siasatan ADUN positif dadah diserah kepada pengarah pendakwaan negeri

Kertas siasatan ADUN positif dadah diserah kepada pengarah pendakwaan negeri

Polis belum mendapat sebarang arahan daripada pengarah pendakwaan negeri untuk tindakan lanjut, sama ada untuk mendakwa atau sebaiknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata kertas siasatan yang lengkap dengan laporan patologi sampel air kencing Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu diserahkan pada 3 Feb lalu. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Polis Pulau Pinang telah menyerahkan kertas siasatan kes Ahli Dewan Undangan (ADUN) Perak yang ujian air kencingnya positif dadah ketika ditahan di sebuah pusat hiburan di Perai dekat sini, bulan lalu, kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata kertas siasatan yang lengkap dengan laporan patologi sampel air kencing ADUN itu diserahkan pada 3 Feb lalu.

“Setakat ini kami belum mendapat sebarang arahan daripada PPN untuk tindakan lanjut, sama ada untuk mendakwa atau sebaiknya,” katanya kepada pemberita, di sini.

Kertas siasatan berkenaan sebelum ini sudahpun diserahkan kepada PPN Pulau Pinang sekitar hujung bulan lepas, namun ia dikembalikan untuk beberapa tindakan susulan.

Pada 13 Jan lalu, dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan di Perai, 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah, dan seorang daripada yang ditahan ialah ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu, apabila ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

Terence Naidu bagaimanapun menafikan beliau mengambil dadah, malah dalam surat penjelasannya kepada DAP beliau memberitahu hasil ujian saringan air kencing yang dibuat di sebuah klinik kemudiannya mendapati beliau negatif dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.