
Lingkesvaran warga Malaysia ketiga yang dihukum mati atas kesalahan berkaitan pengedaran dadah, selepas K Datchinamurthy pada September 2025 dan P Pannir Selvam pada Oktober 2025.
Seorang lagi warga Malaysia, S Saminathan, masih menunggu hukuman mati di negara itu.
Biro Narkotik Pusat Singapura mengesahkan pelaksanaan hukuman itu dan memaklumkan Lingkesvaran, 33, telah melalui keseluruhan proses perundangan mengikut undang-undang serta diwakili peguam sepanjang perbicaraan dan proses rayuannya.
Menurut kenyataan itu, hukuman mati hanya dikenakan bagi jenayah paling serius, termasuk pengedaran dadah dalam jumlah besar yang memberi kesan buruk kepada penagih, keluarga dan masyarakat.
Lingkesvaran disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati pada 15 Okt 2018 kerana mengedar dadah dalam kuantiti yang menurut pihak berkuasa, mencukupi untuk menampung ketagihan kira-kira 630 penagih selama seminggu.
Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Mac 2019, manakala dua permohonan pengampunan yang dikemukakan kepada Presiden Singapura turut ditolak.
Beberapa hari sebelum hukuman dilaksanakan, peguam Lingkesvaran memfailkan saman sivil dengan mendakwa berlaku salah laku oleh pegawai Perkhidmatan Penjara Singapura serta memohon penangguhan hukuman mati.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan penangguhan tersebut dan hukuman mati tetap dilaksanakan.