
Dalam kenyataan, MUDA mengumumkan akan bertanding di tiga kerusi, iaitu DUN Larkin, Machap dan Parit Raja.
“Tiga calon MUDA telah diumumkan, iaitu di DUN Parit Raja (Fikri Musa), Machap (Sangaran Rawisandiran) dan DUN Larkin (Rasid Abu Bakar),” katanya.
Sebelum ini, PKR mengumumkan akan bertanding di Larkin dengan menamakan Zamil Najwah Arbain sebagai calon.
MUDA sebelum ini mengumumkan Setiausaha Agungnya, Amira Aisya bertanding di DUN Puteri Wangsa sementara Lim Wei Jit, yang juga ahli Jawatankuasa Pusat MUDA (DUN Tenang), Nurafiqah M Zulkifli (DUN Bukit Kepong) dan Azrul Rahani, yang juga Pengerusi MUDA Johor sebagai calon DUN Bukit Permai.
Dengan pengumuman tiga lagi calon hari, MUDA setakat ini sudah mengesahkan bertanding di tujuh kerusi pada PRN Johor.
Amanah dan DAP memberi laluan kepada MUDA untuk bertanding di enam kerusi, iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai,
Rundingan rasmi antara MUDA dan PKR tamat apabila kedua-duanya gagal mencapai kata sepakat berhubung pengagihan kerusi susulan tindakan PKR yang akan mengumumkan senarai calonnya di 20 kerusi yang dipertandingkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Feb sebagai tarikh penamaan calon manakala tarikh mengundi pada 12 Mac depan.