Pengundi positif terhadap calon BN, mahu kerajaan stabil di Johor, kata Khaled

Pengundi positif terhadap calon BN, mahu kerajaan stabil di Johor, kata Khaled

Naib Presiden Umno berkata orang ramai mahu BN memastikan wujud sebuah kerajaan yang stabil dan tidak akan diugut dengan 'butang' yang boleh ditekan mana-mana pemimpin.

Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kempen BN dalam pilihan raya negeri Johor berjalan lancar setakat ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rata-rata pengundi di Johor dilihat positif dengan calon yang ditampilkan Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menyifatkan kempen BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor berjalan lancar setakat ini.

“Hari ini masuk hari ketiga berkempen bagi PRN Johor selepas penamaan calon pada 26 Feb lalu. Setakat ini, ‘mood’ dan ‘vibe’ di lapangan sangat baik.

“Masyarakat rata-rata positif dan mesra dengan calon yang ditampilkan. Malah jentera kempen BN tidak mempunyai masalah untuk mendekati masyarakat bagi mendengar hasrat serta harapan mereka dalam kerajaan yang bakal dibentuk,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, ramai yang menzahirkan hasrat serta sokongan agar BN memastikan wujudnya sebuah kerajaan yang stabil dan tidak akan diugut dengan “butang” yang boleh ditekan oleh mana-mana pemimpin.

Katanya, mereka mahu kerajaan Johor kali ini sebuah kerajaan yang kuat dan mempunyai keabsahan yang jelas dan terhormat serta mempunyai air muka tersendiri, stabil dan berupaya membawa kestabilan.

Khaled bagaimanapun berkata, kestabilan hanya akan wujud apabila formula perkongsian kuasa jelas dan diterima dengan penuh toleransi dan permuafakatan.

“Bukannya dengan persaingan dalaman dan tikam-menikam secara terbuka apatah lagi secara tertutup. Pakatan yang sarat prejudis, dipenuhi gunting dalam lipatan dan api dalam sekam hanya akan menjadi retak yang menanti belah,” katanya.

Katanya, pakatan itu diburukkan dengan kehadiran katak-katak politik yang melompat mengikut arus kuasa mengakibatkan kerajaan akan menjadi tidak stabil.

Jelasnya, formula perkongsian kuasa BN terbukti berhasil selama 61 tahun dan meskipun tidak sempurna, tetapi ia berhasil.

“Tidak seperti sesetengah pihak. Seawal prapenamaan calon sampailah ke hari ini, tidak berhenti dengan episod bertikam, sudah berpecah dan saling membaling batu sembunyi tangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.