PRN Johor: BN lancar manifesto fokus 5 teras utama

PRN Johor: BN lancar manifesto fokus 5 teras utama

Sekiranya menang dua pertiga, BN mahu melaksanakan persempadanan semula di kawasan pengundi ramai dan perkenal enakmen anti lompat parti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Hasni Mohammad (kiri) dan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, menunjukkan manifesto parti itu bertemakan ‘Ikhtiar BN Johor untuk Kestabilan Masa Depan’.
JOHOR BAHRU:
Barisan Nasional (BN) melancarkan manifestonya untuk pilihan raya negeri (PRN) bertemakan “Ikhtiar BN Johor untuk Kestabilan Masa Depan”.

Manifesto itu memfokuskan lima teras utama membabitkan kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, khusus untuk Orang Muda Johor (OMJ), membudayakan pentadbiran berintegriti dan melaksanakan reformasi politik.

Ia diumumkan Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad di ibu pejabat Umno Johor di sini.

Hasni berkata, antara tawaran yang akan dilakukan jika BN memenangi pilihan raya ialah meneruskan peruntukan tahunan sama rata RM200,000 untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang.

Hadir sama, Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hassan.

Beliau juga memaklumkan, jika diberi mandat dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN), BN juga akan melakukan persempadanan semula kawasan DUN yang mempunyai jumlah pengundi ramai.

“BN Johor akan terus memupuk naratif politik baharu yang matang bagi menjamin kestabilan masa depan rakyat dan negeri. Atas prinsip tersebut, BN Johor akan memperkenalkan enam inisiatif utama dan meneruskan inisiatif reformasi politik yang telah dilaksanakan,” katanya ketika berucap melancarkan Manifesto BN, hari ini.

Katanya, BN komited untuk membudayakan pentadbiran berintegriti, di mana setiap ADUN di Johor diwajibkan mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Hasni menerusi sidang medianya, berkata BN Johor juga akan memperkenalkan enakmen anti lompat parti jika diberi mandat mentadbir kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.