Nik Nazmi letak jawatan menteri kerana hierarki PKR

Nik Nazmi letak jawatan menteri kerana hierarki PKR

Ahli Parlimen Setiawangsa berkata beliau menghormati dan mahu memudahkan perdana menteri membuat keputusan susulan pemilihan PKR.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad letak jawatan menteri sumber asli dan kelestarian alam selepas kalah pemilihan PKR tahun lalu.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan keputusannya meletak jawatan menteri tahun lalu lantaran perubahan hierarki PKR.

Dalam temu bual FMT, Nik Nazmi berkata pada pemilihan PKR Mei tahun lalu beliau kalah pertandingan ketua cabang Setiawangsa, selain gagal pertahan jawatan naib presiden.

Sehubungan itu, beliau berpandangan parti mungkin merasakan ada orang lain lebih sesuai menggantikannya sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam.

“Saya memudahkan presiden PKR yang juga perdana menteri untuk membuat keputusan waktu itu. Ketika itu tidak ada rombakan segera (Kabinet).

“Bagi saya biar orang yang menang diberi tempat di dalam Kabinet,” katanya, yang digantikan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup.

Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan yang menang satu daripada tiga kerusi naib presiden dilantik menteri sumber manusia dalam rombakan Kabinet diumumkan Anwar, Disember lalu.

Rombakan itu dibuat beberapa bulan selepas Nik Nazmi dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengosongkan kerusi menteri masing-masing pada Jun serta Julai.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata beliau boleh memilih untuk kekal di kerusi Kabinet sehingga perdana menteri buat keputusan tetapi dirinya mengetepikan kepentingan peribadi.

Beliau sebaliknya memilih prinsip bahawa berkhidmat kepada negara tidak seharusnya terikat dengan kedudukan rasmi dalam kerajaan.

“Bagi saya dalam politik ini bukan untuk itu tetapi perubahan dan percaya kita nak mewakili rakyat,” katanya, yang terbuka untuk memegang tanggungjawab dalam kerajaan atau parti.

Walaupun tidak lagi memegang jawatan menteri, Nik Nazmi terus aktif memberi sumbangan kepada pembangunan negara menerusi pelbagai platform dalam negara dan antarabangsa.

Beliau juga menumpukan tenaga dan fokus pada Parlimen Setiawangsa, yang diwakili sejak 2018, salah satu kubu kuat Barisan Nasional (BN) dirampas Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

“Mungkin ada masa lebih sikit berbanding dahulu, memandangkan saya tidak lagi memegang tampuk kementerian atau parti baik di pusat atau cabang,” katanya.

Nik Nazmi juga berkongsi buah fikiran menyentuh pelbagai topik menerusi program audio siar ‘Lebih Masa’ selain sesi perkongsian di dalam dan luar negara.

“Saya bercakap soal pendidikan, kewangan dan alam sekitar.

“Maksudnya saya tidak duduk diam walaupun tidak lagi memegang jawatan menteri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.