Kumpulan antirasuah ‘bingung’ SPRM serah siasatan suami Zeti kepada polis

Kumpulan antirasuah ‘bingung’ SPRM serah siasatan suami Zeti kepada polis

Transparency International Malaysia (TI-M) berkata SPRM mesti menyiasat kes berprofil tinggi itu kerana diberi mandat untuk menyiasat kes rasuah.

Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz sebelum ini disiasat polis berhubung kaitannya dengan dana 1MDB.
PETALING JAYA:
Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyerahkan siasatan dakwaan rasuah terhadap suami bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz kepada pihak polis.

Presidennya Muhammad Mohan berkata, sebagai agensi penguat kuasa undang-undang bebas yang ditugaskan untuk menyiasat rasuah dan salah guna kuasa, SPRM harus melaksanakan kuasanya untuk menyiasat kes berkaitan skandal 1MDB selain memastikan pemulangan dana yang dikaitkan dengan syarikat itu di Singapura.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bahawa agensi itu tidak menyiasat suami Zeti, Tawfiq Ayman, yang syarikatnya di Singapura dikatakan menerima dana berkaitan 1MDB daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Azam memberitahu pemberita pada Selasa lalu bahawa tugas SPRM adalah untuk mendapatkan semula dana 1MDB dari Singapura dan siasatan terhadap Tawfiq dilakukan oleh polis.

“Ia agak membingungkan, mengapa SPRM tidak menyiasat perkara itu. Kita tidak mahu ia menimbulkan persoalan mengenai kebebasan agensi terbabit dan membawa kepada penurunan keyakinan pelabur serta meningkatkan persepsi rasuah.

“Isu ini mungkin menghalang harapan kita untuk mempunyai masa depan lebih cerah dan pemulihan ekonomi yang lebih cepat daripada pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang Wong Cheng mempersoalkan pihak yang memberi arahan dan mengehadkan skop tugas SPRM kepada hanya mendapatkan semula dana dalam kes berkenaan.

“Siapa yang mempunyai kuasa ke atas apa yang dilakukan oleh SPRM? SPRM ditubuhkan untuk menyiasat rasuah, bukan mendapatkan semula wang, jadi sepatutnya SPRM mengetuai siasatan rasuah, bukan polis,” katanya.

Pada Mac tahun lalu, polis dilaporkan memulakan siasatan terhadap dana berkaitan 1MDB yang didakwa dipindahkan ke sebuah akaun bank milik Tawfiq di Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.