Siasat Asri juga atas kenyataan ‘provokasi’ dalam kes Loh, kata Ramasamy

Siasat Asri juga atas kenyataan ‘provokasi’ dalam kes Loh, kata Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy menuduh Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengapi-apikan sentimen agama dan kaum.

P Ramasamy (bertali leher merah) bersama peguamnya, Shamsher Singh Thind dan rakan parti termasuk penyokongnya di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, selepas disoal siasat, hari ini.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berkata, polis sepatutnya mengambil tindakan terhadap Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin kerana mengeluarkan kenyataan “provokasi” berhubung penukaran agama tiga anak Loh Siew Hong.

“Saya mahu polis mengambil tindakan terhadap Asri, beliau yang mengapi-apikan sentimen agama dan kaum,” kata Ramasamy di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Beliau memberitahu bahawa Asri memutar belit isu “seperti Islam sedang diserang”.

Ramasamy disoal siasat polis selama dua jam hari ini, berhubung dakwaan “provokasi” dalam hantaran Facebook yang mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis dengan pelbagai isu mengenai penukaran agama anak-anak Loh.

Beliau ditemani peguam Shamsher Singh Thind, yang juga mewakili Loh dalam keshak penjagaan anak-anaknya.

Bulan lalu, polis berkata, ia sedang menyiasat Ramasamy berhubung hantarannya yang mencetuskan “ketidakpuasan hati pelbagai pihak”.

Ramasamy disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

Beliau turut disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan mengaibkan yang boleh menyebabkan pecah keamanan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Terdahulu, dilaporkan ketiga-tiga anak Loh ditukar agama oleh bapa mereka tanpa persetujuan ibu, pada 2020.

Pada 21 Feb, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpus bagi mendapatkan semula hak penjagaan membabitkan tiga anaknya itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohoan itu selepas mendengar hujahan peguam Loh dan peguambela kepada pendakwah Nazirah Nanthakumari Abdullah, yang merupakan seorang daripada dua responden dalam kes itu.

Ramasamy lantang mengkritik penukaran agama tiga anak Loh, dengan menegaskan tindakan itu merupakan pelanggaran jelas terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 yang memutuskan penukaran agama kanak-kanak bawah umur memerlukan persetujuan ibu dan bapa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.