Calon BN guna slogan ‘lawan tetap kawan’ pertahan Layang-Layang

Calon BN guna slogan ‘lawan tetap kawan’ pertahan Layang-Layang

Abd Mutalip Abdul Rahim berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan mana-mana individu atau tokoh politik.

Calon BN Layang-Layang, Abd Mutalip Abdul Rahim menunjukkan isyarat ‘tiga’ yang membawa maksud beliau sebagai calon nombor tiga di DUN Layang-Layang.
SIMPANG RENGGAM:
Berdepan dengan seorang bekas menteri dan Ahli Parlimen bukan satu masalah buat calon BN di Layang-Layang, Abd Mutalip Abdul Rahim, malah beliau akan menggunakan slogan ‘lawan tetap kawan’ bagi berdepan pencabarnya itu.

Mutalip yang juga pernah menjadi wakil rakyat di kerusi berkenaan berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan mana-mana individu atau tokoh politik termasuk pencabarnya, Maszlee Malik dari PKR dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor kali ini.

“Kita biasa dengar slogan ‘lawan tetap lawan’. Tetapi saya tidak. ‘Lawan tetap kawan’.

“Tidak ada isu. Saya tidak kisah siapa pun (lawan di Layang-Layang),” katanya ketika ditemui FMT di Pusat Khidmatnya Barisan Nasional (BN) Layang-Layang di Simpang Renggam.

Mutalip yang terpilih semula untuk bertanding selepas diketepikan pada PRU14, berikrar meneruskan agenda yang tertangguh ketika dia menjadi wakil rakyat di kawasan itu selepas menang pada PRU13.

PRN Johor bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru di DUN Layang-Layang yang sebelum ini disandang oleh Onn Hafiz Ghazi.

Pencabarnya Maszlee merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan calon K Alagathiran yang merupakan Ketua Pemuda Sayap Bersekutu Bersatu Johor.
Pencabar terakhir pula merupakan calon termuda bagi DUN tersebut daripada Pejuang, Ahmad Shafiq Othaman, 33.

Dalam pada itu, Mutalib menasihatkan kepada semua pemimpin politik supaya tidak hanya sekadar menabur janji ketika berkempen.

Beliau berkata sekiranya sudah berjanji kepada pengundi, perlu dikotakan.

“Kita janji itu, kotakanlah. Tidak salah nak tukar kerajaan ini tetapi biarlah menepati janji. Kita perlu jujur jangan cakap sahaja. Tidak guna cakap begini-begini, setakat manis sahaja, tetapi tidak boleh laksanakan.

“Jalankan amanah ketika berkempen dan amanah ketika memimpin. Jangan tipu ketika berkempen dan janji yang tidak masuk akal,” katanya.

Mutalib juga tidak menolak pengundi sememangnya terpesona dengan janji PH pada PRU14 untuk memberikan tol dan pendidikan percuma.

Beliau akui pengundi sememangnya akan terpesona dengan ayat “percuma”.

“Namun mereka (PH) sendiri terperangkap dengan janji-janji mereka,” katanya.

Mutalib juga merancang jika menang sekali lagi di Layang-Layang, beliau akan menaiktaraf laluan di Layang-Layang yang menjadi penghubung mereka yang bekerja di Johor Bahru.

“Berdoa pada Allah dan berserah pada rakyat yang kenal cara saya. Saya tidak ada apa nak ditawarkan melainkan perkhidmatan saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.