PRN Johor: Penceramah dibenar buka pelitup muka ketika berkempen

PRN Johor: Penceramah dibenar buka pelitup muka ketika berkempen

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan SOP pencegahan Covid-19 terkini itu hari ini, yang dibuat berdasarkan cadangan pindaan dan tambahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara

Berdasarkan SOP berkenaan, semua yang hadir ceramah, syarahan atau kempen, hendaklah sentiasa memakai pelitup muka serta mengekalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara individu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pilihan raya negeri (PRN) Johor, kini membenarkan penceramah untuk membuka pelitup muka ketika menyampaikan ceramah atau syarahan semasa berkempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan SOP pencegahan Covid-19 terkini itu hari ini, yang dibuat berdasarkan cadangan pindaan dan tambahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut SOP terbaharu itu, penceramah perlu terus memakai semula pelitup muka selepas selesai menyampaikan ceramah atau syarahannya.

Berdasarkan SOP berkenaan, semua yang hadir ceramah, syarahan atau kempen, hendaklah sentiasa memakai pelitup muka serta mengekalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara individu.

Bagi aktiviti mesyuarat parti, SOP itu menyatakan semua individu yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa, dan menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, selain aktiviti bersalaman adalah dilarang.

“Pindaan pada SOP pencegahan Covid-19 itu berkuat kuasa serta merta,” menurut SPR yang berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan, etika kempen serta garis panduan pencegahan COVID-19 tersebut, bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor pada 12 Mac dengan pengundian awal akan berlangsung esok (8 Mac).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.