Betulkan destinasi politik kamu sebelum minta Amanah tinggalkan DAP, Khalid beritahu PAS

Betulkan destinasi politik kamu sebelum minta Amanah tinggalkan DAP, Khalid beritahu PAS

Khalid (PH-Shah Alam) berkata Amanah dan DAP tidak boleh dipisahkan kerana walaupun ‘hati’ berbeza, namun matlamat dan destinasi politik adalah sama.

PAS sanggup bersama dengan parti dalam kerajaan yang disifatkan oleh Khalid Samad sebagai ‘perompak dan penyamun’, walaupun dihina dan ditertawakan oleh rakan mereka.
KUALA LUMPUR:
Amanah meminta PAS memperbetulkan destinasi politiknya terlebih dahulu sebelum meminta parti itu meninggalkan DAP jika mahu dua parti itu berpadu di bawah khemah politik sama, kata Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad.

Khalid (PH-Shah Alam) berkata, Amanah dan DAP tidak boleh dipisahkan kerana walaupun mempunyai “hati” berbeza, namun matlamat dan destinasi politik mereka adalah sama.

“Kalau nak ke destinasi sama walaupun niat mungkin berbeza, kita boleh naik bas yang sama. Ada yang ke sana untuk melancong, ada yang balik kampung, ada yang ziarah rakan, ada untuk tujuan bisnes dan sebagainya, tetapi destinasinya sama (maka) boleh naik bas yang sama.

“Begitulah kami dengan DAP, kami inginkan destinasi politik yang sama, iaitu kerajaan bersih rasuah, kerajaan berkebajikan dan bersih perkauman… maka kita boleh bersama,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja, di Dewan Rakyat.

Khalid mendakwa PAS sanggup bersama dengan parti dalam kerajaan, yang digelar oleh pemimpin Amanah itu sebagai “perompak dan penyamun”, walaupun dihina dan ditertawakan oleh rakan mereka.

“PAS entah apa matlamat dan destinasi politiknya bersama perompak dan penyamun, bersama mengapikan sentimen perkauman adu domba agama dan tak bermaruah sehingga berdiam diri apabila dihina dan ditertawakan oleh rakan. Saya cadangkan pada PAS, betulkan dahulu destinasi politik kamu baharu jemput kami untuk bersama,” katanya.

Awal tahun lalu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menegaskan parti itu boleh bekerjasama dengan parti dalam Pakatan Harapan (PH), tetapi dengan syarat Amanah perlu meninggalkan DAP terlebih dahulu.

“Kita boleh dengan Amanah tapi dengan syarat dia tinggalkan DAP,” katanya dalam satu majlis di Batu Caves.

Dalam pada itu, Khalid turut membangkitkan hak penjagaan dan agama tiga anak Loh Siew Hong yang dipertikaikan pelbagai pihak, dengan menegaskan enakmen Islam di setiap negeri dan persekutuan perlu diselaraskan bagi mengelakkan isu berkenaan dipolitikkan.

“Negeri lain masih ada percanggahan berhubung hak penjagaan oleh kedua-dua ibu bapa (yang berbeza agama) dan ketetapan umum. Diharapkan ini boleh diseragamkan dan diselaraskan antara negeri dan pusat supaya ia tidak jadi isu yang akan dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Terdahulu, Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memohon mencelah petisyen perceraian Loh Siew Hong bagi mendapatkan hak untuk membuat suatu permohonan bagi membolehkan tiga anaknya mendapat akses kepada bantuan, panduan, dan pendidikan berkenaan Islam.

Majlis itu berkata, memandangkan keislaman tiga anak Loh itu didaftarkan di Perlis, maka ia bertanggungjawab memastikan “mereka mendapat akses kepada segala hak dan kepentingan sebagai saudara baharu beragama Islam”.

Mahkamah sebelum ini memberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas tiga kanak-kanak terbabit kepada Loh. Bekas suaminya dikatakan membawa mereka ke Perlis ketika bawah umur untuk didaftarkan sebagai Islam dengan disahkan jabatan agama negeri tanpa kehadiran Loh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.