86.66 tan sisa pelitup muka sehari pada 2020, kata KPKT

86.66 tan sisa pelitup muka sehari pada 2020, kata KPKT

Reezal Merican Naina Merican berkata situasi pandemik Covid-19 menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak sisa pelitup muka, kit ujian kendiri dan PPE.

Kementerian akan terus bekerjasama dengan KKM, Jabatan Alam Sekitar dan agensi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab orang awam dalam mengurus sisa pelitup muka, menurut Reezal Merican Naina Merican. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia merekodkan sebanyak 86.66 tan sisa pelitup muka sehari pada tahun 2020, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican.

Menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang), Reezal berkata situasi pandemik Covid-19 menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak sisa pelitup muka, kit ujian kendiri dan PPE yang menyebabkan satu kaedah pelupusan selamat perlu diwujudkan dalam menjaga kelestarian alam sekitar di negara ini.

“Berdasarkan maklumat daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), dianggarkan sebanyak 86.66 tan/hari sisa pelitup muka dihasilkan oleh penduduk Malaysia pada 2020 dengan anggaran penggunaan satu helai pelitup muka sehari.

“Sisa buangan ini hendaklah diurus mengikut prosedur yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) memandangkan sisa pelitup muka bukan perubatan (non-medical mask), kit ujian kendiri Covid-19 dan PPE yang dipakai oleh orang awam dikategorikan sebagai sisa domestik, bukan sisa klinikal,” katanya.

Wong daripada DAP meminta kerajaan menyatakan jumlah sisa tambahan pandemik Covid-19 seperti pelitup muka pakai buang, pakej kit ujian, PPE dan sebagainya serta rancangan untuk mengurangkan sisa tersebut melalui kolaborasi bersama kementerian berkenaan.

Mengulas lanjut, Reezal berkata, kementerian akan terus bekerjasama dengan KKM, Jabatan Alam Sekitar dan agensi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab orang awam dalam mengurus sisa tersebut melalui pemerkasaan program pendidikan masyarakat yang dirancang di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Mengenai isu harga rumah, Reezal berkata, KPKT mengadakan mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Feb dan isu kenaikan kos bahan binaan dalam industri pembinaan telah dibangkitkan dan dibincangkan.

“Susulan mesyuarat itu, Perdana Menteri telah mengarahkan KPKT dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) untuk meneliti sekiranya masalah peningkatan kos bahan binaan dan kartel dalam industri pembinaan berpunca daripada Permit Import (AP).

“Sehubungan itu, satu mesyuarat susulan bagi membincangkan isu kenaikan kos bahan binaan dalam industri pembinaan diadakan pada 14 Feb melibatkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

Katanya, perbincangan turut melibatkan Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Beliau berkata, mesyuarat bersetuju agar CIDB dan KKR mengkaji kos terperinci rantaian bekalan bahan binaan bagi mengurangkan jurang harga antara harga pengeluar dengan kontraktor.

“Seterusnya, mesyuarat berpendapat kontraktor boleh memanfaatkan insentif yang disediakan oleh MOF bagi syarikat yang menjalankan aktiviti dalam pembuatan Sistem Bangunan Industri (IBS),” katanya yang menjawab soalan Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai langkah kerajaan bagi mengawal peningkatan harga rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.