
“Kita masih lagi siasat, kita tak tahu daripada syarikat mana,” kata Menterinya, Zuraida Kamaruddin pada sidang media selepas melancarkan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030.
CBP AS dalam satu kenyataan di laman webnya semalam berkata, pihaknya merampas empat penghantaran minyak sawit dari Malaysia bernilai hampir USD2.5 juta (RM10.5 juta) di Baltimore sejak 11 Feb berikutan dakwaan bahawa komoditi itu dikilangkan dengan menggunakan buruh paksa.
CBP AS bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci syarikat Malaysia yang didakwa terlibat.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, berkemungkinan produk berkenaan bukan dari Malaysia atau jika ada, ia hanya melibatkan sebahagian kecil daripada rampasan berkenaan.
“Kadang-kadang dia (AS) tengok produk tu kemungkinan bukan dari Malaysia tetapi mungkin dari negara lain atau syarikat lain yang mungkin ada sebahagian kecil dari Malaysia (tetapi) dia kata dari Malaysia, itu kita nak kena siasat,” katanya.
Menyentuh mengenai sekatan CBP AS terhadap minyak sawit keluaran Sime Darby Plantation Berhad (SDP) sebelum ini, Zuraida berkata, perkara itu sudah pun selesai.
“Sime Darby dah ‘setel’ dia punya isu, dalam proses settlement (penyelesaian). Untuk Sime Darby dah tiada (sekatan),” katanya.
Di Dewan Rakyat semalam, Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat) meminta AS dan United Kingdom supaya tidak menasihati Malaysia berhubung isu buruh paksa kerana sejarah membuktikan dua negara berkenaan mempunyai rekod lebih buruk.
Beliau turut mendakwa sekatan AS terhadap minyak sawit keluaran Sime Darby Plantation Berhad (SDP) adalah permainan “orang kulit putih” yang mahu menghentikan Malaysia daripada mengeksport komoditi ke luar negara.
Pada 31 Dis 2020, CBP AS memaklumkan menyekat minyak sawit dan produk mengandungi minyak sawit keluaran SDP serta anak syarikatnya susulan dakwaan penggunaan buruh paksa.
Terdahulu Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, siasatan mendapati tiada sebarang perlanggaran amalan buruh paksa dilakukan oleh SDP berdasarkan 11 petunjuk yang digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Ketika ditanya mengenai perkembangan statusnya dalam Bersatu susulan kepimpinan tertinggi sedang membuat penilaian berhubung dakwaan penglibatannya dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zuraida yang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu enggan mengulas lanjut.
“Semua orang sibuk dekat Johor, apa nak ‘update’,” balasnya.