Beri isteri kontrak bekal makanan, ketua balai bomba dipenjara 180 bulan, denda RM194,000

Beri isteri kontrak bekal makanan, ketua balai bomba dipenjara 180 bulan, denda RM194,000

Keputusan itu dibuat selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 57, menggunakan kedudukannya mencadangkan syarikat Puncak Cahaya Azam Enterprise, milik isterinya, untuk kontrak pembelian dan penyediaan makanan bagi anggota bomba di balai tempatnya berkhidmat.
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman penjara 180 bulan dan denda RM194,062.10 terhadap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu Pekan, Pahang selepas didapati bersalah atas 10 pertuduhan memberi kontrak pembekalan makanan bernilai RM36,279.69 kepada syarikat milik isterinya.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak dan ini bermakna tertuduh Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 57, akan menjalani hukuman penjara selama 18 bulan bermula tarikh sabitan.

Menurut laporan Sinar Harian, mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lima tahun, jika dia gagal membayar denda.

Bapa kepada tiga anak itu didapati bersalah menggunakan kedudukannya dengan mencadangkan syarikat Puncak Cahaya Azam Enterprise, milik isterinya, bagi kontrak pembelian dan penyediaan makanan untuk pelbagai program serta operasi melibatkan anggota bomba di balai tempatnya berkhidmat.

Kesalahan itu dilakukan antara Mac 2014 dan 3 Ogos 2015 dengan setiap satu kontrak bernilai RM1,075 hingga RM7,500.

Antara kontrak tersebut ialah penyediaan makanan untuk anggota bomba yang terlibat dengan operasi pembinaan semula rumah terbakar, operasi memadam kebakaran hutan dan bencana banjir.

Tertuduh yang beralamat di Jalan Kampung Jawa di Kuantan didapati bersalah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum menerusi Seksyen 24 akta sama, iaitu dipenjara hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zamzani berkata, keputusan sabitan dan hukuman dibuat selepas menilai keterangan 18 saksi pendakwaan dan tiga saksi mewakili pembelaan, bukti-bukti serta hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak.

Pada prosiding itu, Zamzani turut membenarkan permohonan peguam G Ravishankar yang mewakili Sheikh Hassan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

“Rayuan ini perlu difailkan dalam tempoh 14 hari oleh tertuduh dan jaminan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000,” tegasnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.