
Menegaskan fenomena pengkhianatan dan pencabulan mandat rakyat tidak boleh lagi dikompromikan, Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki berkata tidak ada pilihan selain pilihan raya kerana negara tidak lagi stabil sejak mandat itu dikhianati.
“22 bulan di bawah PH, 18 bulan di bawah PN dan hampir 8 bulan di bawah PN 2.0, kestabilan negara masih belum pulih dan pertumbuhan ekonomi juga terus tersekat.
“Tiada lagi sebarang alasan untuk kita menafikan hak rakyat menentukan kestabilan,” katanya dalam ucapan dasar Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), sebentar tadi.
Asyraf berkata meskipun Perdana Menteri Umno mengambil alih teraju “kerajaan campuran yang hampir karam”, ia amat bergantung kepada ihsan pihak lain.
“Andai kata ada yang berpaling tadah, sudah tentu kerajaan musnah. Apatah lagi sebahagian besar mereka itu, punya sejarah kaki lompat parti,” katanya, tanpa menamakan pihak tersebut.
Asyraf berkata Ismail Sabri Yaakob terikat dengan banyak tuntutan tidak munasabah daripada parti sekutu dan seteru.
“Tersepit antara tekanan politik dan kehendak rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf berkata PRN Sarawak, Melaka, dan Johor dapat dilaksanakan dengan selamat, tanpa masalah sejajar dengan peralihan negara ke arah fasa endemik.
“Adakah kita setuju andai mandat rakyat dikembalikan hari ini? Ayuh pemuda bangkit bersama saya, bersedialah menyinsing lengan.”
Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan menggesa agar PRU dipercepatkan kerana jika tidak dilakukan dengan segera, hanya membuka potensi kebangkitan pembangkang.
Mohamad berkata, Umno perlu memanfaatkan segala peluang dan ruang atas kelemahan musuh dan menyerang sewaktu mereka benar-benar lemah.