
Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, walaupun pendaftaran pengundi secara automatik adalah langkah positif, peratusan keluar mengundi rendah dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor membuktikan lebih banyak usaha perlu dilakukan.
“Sudah tentu, dialog lanjut diperlukan bagi menentukan bagaimana ia akan dilakukan, namun lebih cepat ia dilaksanakan lebih baik,” katanya pada pelancaran buku Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang bertajuk “Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir”.
Rashid mengakui cadangan itu memerlukan banyak kerja untuk meminda undang-undang sedia ada berhubung proses pilihan raya tetapi beliau yakin ia boleh dilaksanakan.
Beliau berkata, adalah sangat penting untuk menggalakkan orang ramai mengundi dalam pilihan raya umum kerana ia menjadi penentu bagaimana negara akan ditadbir untuk lima tahun akan datang atau sehingga Parlimen dibubarkan.
Katanya, “mana-mana proses demokrasi yang berfungsi dibina atas pengundinya”.
Rashid juga menggesa sistem lebih baik dibangunkan untuk menjejaki lokasi pengundi dan perubahan alamat bagi menjamin tiada seorang pun rakyat ketinggalan dalam proses pilihan raya.
Beliau berkata, ini bukan hanya tertakluk kepada mereka yang menetap di kawasan bandar atau luar bandar tetapi juga pelajar atau rakyat yang tinggal di luar negara kerana sistem sedia ada tidak mencukupi.
Rashid berharap buku yang ditulis secara bersama itu mampu mendidik orang ramai mengenai proses pilihan raya.