Wanita ditahan, jadi punca konvoi kereta mewah henti tengah lebuh raya

Wanita ditahan, jadi punca konvoi kereta mewah henti tengah lebuh raya

Wanita berusia 28 tahun itu menyerah diri di IPD Kulai kira-kira 1 pagi tadi.

Tangkap layar daripada video tular menunjukkan kumpulan konvoi kereta mewah berhenti di Kilometer 34 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan sehingga menghalang lalu lintas Jumaat lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu wanita ditahan kerana cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya sehingga menyebabkan pelanggaran di Kilometer 34 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat susur keluar Sedenak pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Tok Beng Yeow berkata, wanita berusia 28 tahun yang memandu pacuan empat roda Ford Ranger itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Johor, kira-kira 1 pagi tadi.

Katanya, wanita itu direman tiga hari hingga Rabu ini berdasarkan perintah reman yang dikeluarkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Tok dilaporkan berkata, polis menyiasat video tular memaparkan kumpulan konvoi kereta mewah berhenti di Kilometer 34 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan sehingga menghalang lalu lintas pada Jumaat lalu.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada sebuah pacuan empat roda Ford Ranger cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya, sebelum melanggar salah sebuah kereta itu ketika memasuki lorong kiri.

“Akibat pelanggaran itu, kumpulan kereta mewah terbabit bertindak memberhentikan kenderaan mereka di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka di lokasi kejadian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.