Pemandu e-panggilan dijel 30 tahun, 25 sebatan kerana edar dadah

Pemandu e-panggilan dijel 30 tahun, 25 sebatan kerana edar dadah

K Prakash didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam edar 24,588.5g kanabis dan miliki dua lagi jenis dadah seberat 10.4g.

shah alam court
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan K Prakash yang didapati bersalah memiliki dan mengedar dadah menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapan.
SHAH ALAM:
Seorang pemandu e-panggilan dihukum penjara 30 tahun dan 25 sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah mengedar 24,588.5g dadah jenis kanabis dan memiliki dua lagi jenis dadah seberat 10.4g.

Hakim Latifah Mohd Tahar memerintahkan K Prakash, 43, yang juga penjual mercun menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap pada 22 April 2021.

Dalam penghakimannya, Latifah berkata mahkamah mendapati pembelaan tertuduh hanyalah penafian semata-mata tanpa keterangan sokongan tentang dadah yang dijumpai itu bukan dalam milikan, jagaan dan kawalannya.

Beliau berkata ketika kes pembelaan, hanya tertuduh memberi keterangan, manakala beberapa rakan yang dituduh bersama tidak dipanggil sebagai saksi untuk mengesahkan dia tiada kaitan dengan dadah tersebut.

“Bekas isteri tertuduh sendiri telah menjadi saksi pendakwaan dan mahkamah mendapati beliau adalah saksi yang boleh dipercayai dan keterangan beliau patut diterima oleh mahkamah.

“Jumlah dadah itu boleh dianggap untuk tujuan pengedaran kerana jumlah sebanyak itu adalah mustahil untuk kegunaan sendiri. Oleh itu, pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan,” kata Latifah pada akhir kes pembelaan.

Bagi pertuduhan pertama, Prakash didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 24,588.5g di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, Petaling, pada 22 April 2021 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39b(2) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa memiliki dadah jenis monoacetylmorphines dan heroin, masing-masing seberat 6.4g dan 4g di lokasi dan tarikh sama mengikut Seksyen 12(2) ADB.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail memohon hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor keseriusan kes memandangkan dadah merupakan musuh nombor satu negara.

Prakash yang dilihat menangis merayu hukuman ringan kerana sudah lama tidak berjumpa keluarga terutama anaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.