
Pesuruhjaya Kehakiman Zaleha Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas peguam yang mewakili Mahmud membantah permohonan berkenaan.
Cahya Mata memfailkan permohonan injunksi sementara itu sementara menunggu pendengaran injunksi antara pihak-pihak terbabit. Permohonan tersebut berkaitan dengan saman yang difailkan syarikat berkenaan terhadap Mahmud bagi mendapatkan pelbagai relif.
Dalam permohonan sama, syarikat itu turut memohon perintah bagi menghalang Mahmud daripada membuat atau menyebabkan dibuat sebarang kenyataan kepada media berhubung plaintif, anak syarikatnya dan/atau mana-mana prosiding yang sedang berjalan.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Jun untuk pengurusan kes lanjut, selain mengarahkan Mahmud selaku defendan memfailkan afidavitnya pada atau sebelum 29 Mei, manakala Cahya Mata perlu memfailkan afidavit balasan sebelum 12 Jun.
“Sebutannya akan dibuat pada 15 Jun bagi pihak defendan memaklumkan kepada mahkamah sama ada terdapat keperluan untuk memfailkan afidavit tambahan serta mendapatkan arahan lanjut daripada mahkamah,” kata Zaleha.
Syarikat itu pada awalnya memohon injunksi sebelah pihak, namun mahkamah mengarahkan supaya permohonan itu didengar antara pihak.
Cahya Mata diwakili Alvin Chong, manakala Mahmud diwakili Satinder Singh Sandhu.
Pertikaian itu timbul susulan ketegangan berterusan dalam lembaga pengarah berikutan tindakan penurunan jawatan Mahmud daripada timbalan pengerusi kumpulan kepada pengarah dalam struktur lembaga syarikat.