Mayat pelatih AMD lemas ketika mandi sungai ditemui

Mayat pelatih AMD lemas ketika mandi sungai ditemui

Mayat pelatih berusia 14 tahun itu ditemui dalam penyedut pasir di Sungai Limau petang tadi.

Pasukan mencari dan menyelamat bersama penduduk kampung hari ini mempergiatkan usaha mencari Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa yang dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama empat rakannya di Sungai Ketil, petang semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mayat pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa ditemui selepas lebih 20 jam dilaporkan hilang di Sungai Limau, Baling, Kedah, sejak semalam.

Ketua Zon 3 Kedah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Rahimi Ali berkata, mangsa berusia 14 tahun itu ditemui dalam penyedut pasir di sungai itu kira-kira 5.46 petang tadi.

Katanya, mayat itu ditemui penjaga pam di kawasan Sungai Limau, kira-kira 9km dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Kadar kelajuan air ketika operasi mencari mangsa adalah lebih 5 kmsj dan paras kedalaman sungai adalah 2.9 kaki,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Bernama.

Rahimi berkata, operasi mencari dan menyelamat hari ini disertai pelbagai agensi, termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam, badan bukan kerajaan dan penduduk kampung bermula 8 pagi tadi.

“Kaedah pencarian mangsa dipecahkan kepada beberapa sektor, antaranya menggunakan teknik pencarian di permukaan air dari tempat mangsa dilaporkan hilang hingga Pekan Baling dan selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kawasan dikhuatiri mangsa tersangkut.

“Proses pencarian turut menggunakan bot, kayak dan ski jet, pencarian di pesisir tebing sungai, menggunakan khidmat anjing pengesan Unit K9 dan jentera berat untuk mengalihkan timbunan buluh di dalam sungai.”

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Semalam, Bernama melaporkan seorang remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Baling, kira-kira 1 tengah hari.

Pelatih akademi AMD yang bermain untuk pasukan bawah 14 tahun itu sedang bercuti semester dan pulang ke kampung halamannya dari 19 hingga 27 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.