
Beliau menegaskan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa perdagangan antarabangsa dan rakyat Malaysia mesti menguasai bahasa itu untuk mendapat akses peluang di seluruh dunia.
“Kita tidak boleh menutup mata dengan fakta ini. Penguasaan bahasa Inggeris dianggap sebagai kualiti penting yang dicari oleh syarikat di Malaysia apabila melihat pada permohonan kerja dan sering menjadi sebab yang disebut untuk persepsi pengangguran graduan Malaysia dalam sektor swasta,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.
Tonton video di sini.
Ahli Parlimen Muar dan bekas menteri belia dan sukan itu berkata, walaupun Malaysia berada di kedudukan ke-28 daripada 112 negara dalam Indeks Penguasaan Bahasa Inggeris 2021, rakyat Malaysia tidak seharusnya berbangga kerana negara ini berada di belakang Singapura dan Filipina di Asia.
“Kita harus ingat bahawa persaingan untuk mendapatkan bakat, pekerjaan dan pelaburan dalam dekad akan datang akan menjadi semakin global
“Dengan populasi hanya 33 juta orang, adalah penting untuk rakyat Malaysia dilengkapi dengan setiap ‘alat’ yang mungkin untuk mengeksport idea inovatif, penyelesaian dan barang dengan cepat dan mudah ke seluruh dunia,” katanya.
Syed Saddiq berkata, dasar pendidikan yang bertujuan memastikan semua pelajar Malaysia mencapai penguasaan sekurang-kurangnya tiga bahasa, termasuk bahasa Melayu dan Inggeris, adalah penting untuk meruntuhkan halangan dan membina jambatan antara masyarakat di negara ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan berbincang dengan pemimpin Asean untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda Malaysia di peringkat antarabangsa.
Syed Saddiq berkata, beliau mengalu-alukan usaha memperkukuhkan penguasaan Bahasa Melayu, namun bimbang cadangan itu hanya bertujuan untuk mendapatkan sokongan dalam tahun pilihan raya, tanpa visi atau falsafah sebenar untuk bahasa itu di negara yang kompleks seperti Malaysia.