4 hari tanpa air, penduduk rayu bantuan

4 hari tanpa air, penduduk rayu bantuan

Henry Muthu mempersoalkan kelewatan Air Selangor menyalurkan bekalan air ke Taman Jasa Utama yang sepatutnya dipulihkan pada 3 petang Selasa lalu.

Air Selangor berkata, bekalan air akan disalurkan secara berperingkat dan tempoh pemulihan berbeza berdasarkan lokasi serta jarak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penduduk di Taman Jasa Utama, Batu Caves, Gombak merayu Air Selangor memulihkan bekalan air di kawasan perumahan itu yang sudah empat hari tiada air.

Henry Muthu yang tinggal di Taman Jasa Utama selama 32 tahun, mempersoalkan kelewatan Air Selangor menyalurkan bekalan air ke kawasan perumahan itu yang sepatutnya dipulihkan pada 3 petang Selasa lalu.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Seluruh kawasan kejiranan tiada bekalan air.

“Saya mempunyai anak dan ibu bapa yang sudah tua. Kami kini bergantung kepada air botol dan harganya tidak murah untuk membeli banyak. Pada masa sama, (99) Speedmart di kawasan kejiranan kami telah kehabisan air.

“Saya mendapat jawapan daripada Air Selangor sekitar 5.30 petang tadi dan mereka kata air akan pulih selewat-lewatnya 6 petang. Sekarang 6.30 petang dan masih tiada air,” katanya kepada FMT.

Henry berkata, lori tangki air yang disediakan Air Selangor tidak membantu kerana ia hanya tiba sekitar 2.30 pagi tadi, lewat tiga hari.

“Selain itu, trak itu tiba pada awal pagi. Berapa ramai yang masih berjaga ketika itu untuk menadah air. Apakah logiknya?” soalnya.

Beliau berharap Air Selangor segera menangani masalah itu dan meminta lebih banyak lori tangki air bagi mengurangkan kesusahan penduduk.

Air Selangor dalam kenyataan hari ini berkata, bekalan air di sekitar kawasan Gombak sudah pulih sepenuhnya selepas kerja pembaikan injap bocor di Warta Lama, Jalan Kuching kira-kira 2 pagi tadi.

Katanya, bekalan air akan disalurkan secara berperingkat dan masa pemulihan dijangka berbeza mengikut lokasi serta jarak.

FMT sudah menghubungi Air Selangor untuk mengulas lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.