Sofia Raniya salah naik bas, tiada unsur culik, kata polis

Sofia Raniya salah naik bas, tiada unsur culik, kata polis

Polis menolak kemungkinan terdapat unsur culik berhubung kes itu dan sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan culik melibatkan kanak-kanak berkenaan.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1, Cheras, Sofia Raniya ditemui selamat malam tadi di Bandar Tun Razak. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Siasatan awal polis berhubung kehilangan Sofia Raniya yang ditemui semula dalam keadaan selamat malam tadi, mendapati kanak-kanak berusia lapan tahun itu tersalah menaiki bas ketika pulang dari sekolah petang semalam.

Berikutan itu, polis menolak kemungkinan terdapatnya unsur culik berhubung kes itu dan sehingga kini tidak menerima sebarang laporan culik melibatkan kanak-kanak berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata, berdasarkan keterangan pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1, Cheras, kanak-kanak itu dikatakan mengikut kawan-kawannya menaiki bas.

“Kanak-kanak itu ditemui di sebuah pondok pengawal keselamatan sebuah kondominium di Cheras,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Azmi berkata, polis memandang serius perkara itu dan berharap terdapat inisiatif pihak terlibat untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang, antaranya dengan meletakkan tanda khas di van sekolah bagi memastikan murid tidak keliru.

“Mungkin ada kekeliruan berlaku khususnya anak-anak yang baharu pertama kali naik bas. Jadi mungkin disebabkan kekhilafan ini, perkara seperti semalam berlaku ke atas kanak-kanak itu,” katanya.

Semalam, tular di media sosial mengenai kehilangan Sofia Raniya yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1, Cheras, selepas ibunya tidak menemuI kanak-kanak itu di sekolah semasa mahu mengambilnya.

Kanak-kanak itu ditemui selamat malam tadi di Bandar Tun Razak di Cheras dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.