KDN cadang usul lanjut SOSMA dibentang sidang Dewan Rakyat akan datang

KDN cadang usul lanjut SOSMA dibentang sidang Dewan Rakyat akan datang

Hamzah Zainudin mencadangkan sidang khas Dewan Negara diadakan sebelum 31 Julai bagi membincangkan usul lanjutan itu, selepas dibawa semula ke Dewan Rakyat.

Hamzah Zainudin (empat dari kiri) menerima memorandum sokongan berkaitan keperluan dan kepentingan Subseksyen 4(5) SOSMA daripada Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Ayub Yaakob (dua dari kanan) di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dibentang dan diputuskan pada sidang Dewan Rakyat akan datang sebelum tempoh subseksyen itu tamat 31 Julai ini.

Menterinya, Hamzah Zainudin berkata, pihaknya turut mencadangkan satu sidang khas Dewan Negara diadakan sebelum 31 Julai bagi membincangkan usul lanjutan itu selepas dibawa semula ke Dewan Rakyat.

Mengikut takwim, mesyuarat kedua Dewan Rakyat dijadualkan pada 18 Julai hingga 4 Ogos, manakala Dewan Negara pada 8 Ogos hingga 16 Ogos.

Hamzah berkata, satu perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat dengan speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi menentukan cara pelaksanaan sidang bagi membincangkan usul itu.

“Saya sudah bercakap dengan mereka (speaker) dan (perbincangan) akan dilakukan secepat mungkin,” katanya selepas sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan SOSMA di sini, hari ini.

Hamzah berkata, pengenalan klausa had tempoh dalam SOSMA memberi ruang kepada kerajaan untuk menilai semua peruntukan subseksyen dalam akta itu setiap lima tahun sekali mengikut keperluan semasa.

Pada 23 Mac lalu, usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA 2012 bagi tempoh lima tahun itu tidak diluluskan di Dewan Rakyat melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 85 Ahli Parlimen bersetuju dan 86 lagi tidak bersetuju.

Subseksyen berkenaan membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi memberi masa mencukupi kepada polis untuk melengkapkan siasatan kes kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks.

Terdahulu, Hamzah menerima memorandum sokongan berkaitan keperluan dan kepentingan Subseksyen 4(5) SOSMA daripada 10 NGO dan tokoh masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.