
Tinjauan FMT ke bazar tertua di ibu kota, iaitu Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Bharu dan TTDI Kuala Lumpur mendapati peniaga memulakan jualan seawal 3 petang.
Ramadan kali ini agak berbeza berbanding tahun lalu yang menyaksikan 22 bazar di seluruh negara termasuk bazar Jalan Raja Alang terpaksa ditutup susulan penularan jangkitan Covid-19.
Rata-rata peniaga yang ditemui menarik nafas lega kerana bermula 1 April lalu negara mula memasuki fasa peralihan ke endemik dan sektor ekonomi dibuka kembali.
Dianggarkan seramai 3,000 pengunjung berkunjung ke bazar Jalan Raja Alang semalam.

Peniaga apam balik, Mohd Zulfaiz Abdul Ghani, 42 berkata, walaupun ramai warga kota masih takut-takut untuk keluar ke bazar, namun beliau tetap gembira kerana perniagaannya mendapat sambutan.
“Alhamdulillah walaupun hujan, pengunjung tetap ramai dan beratur membeli juadah. Saya harap lebih ramai lagi yang akan datang ke bazar,” katanya.

Manakala Sarimah Jamaluddin, 47, pula menyifatkan kehadiran pelanggan agak luar biasa jika dibandingkan dua tahun lepas.
“Nak cakap saya terjejas sangat tidak, pelanggan masih ada cuma tak dinafikan sebelum ni agak kurang. Namun hari ini (semalam) seolah-olah ada sinar baharu buat kami yang berniaga bazar ini,” katanya
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Sharin Darus, seramai 25 anggota keselamatan ditugaskan bagi memastikan setiap pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Bazar ini tertua di negara ini dan telah wujud sejak 1960. Untuk Ramadan kali ini kami sediakan 120 tapak dan ada petugas keselamatan untuk pastikan keselamatan peniaga dan pelanggan,” katanya.

Mengulas berkaitan kehadiran pengunjung yang tetap berpusu-pusu masuk meskipun berbaki 30 minit sebelum waktu berbuka puasa, Sharin berkata, kemungkinan kepelbagaian juadah dan lokasi strategik menyebabkan orang ramai memilih untuk ke bazar tersebut.

Manakala di Bazar TTDI Kuala Lumpur pula, peniaga minuman yang hanya mahu dikenali sebagai Adam berkata, pada mulanya, dia bimbang dengan kehadiran pelanggan yang hanya semakin ramai pada 5.30 petang.
“Saya gembira melihat lebih ramai pelanggan pada waktu petang datang secara berkumpulan atau berpasangan. Saya jangka lebih ramai lagi peniaga dan pelanggan pada minggu depan,” katanya.
Manakala peniaga yong tau fu yang mahu dikenali sebagai Danial pula berkata, beliau mengurangkan jumlah jualannya kerana bimbang tidak dapat menjual kesemuanya.
“Saya dah keluarkan banyak kos untuk sediakan makanan, jadi jika saya tidak dapat jual makanan ini, ia jadi cabaran untuk perniagaan kerana saya tidak mampu kehilangan modal sekarang, saya masih bertungkus-lumus untuk kekalkan perniagaan saya,” jelasnya.
Bagaimanapun, pelanggan mula beratur di hadapan gerainya pada lewat petang walaupun hujan.
Bagi pengunjung Noor Azeem, dia terkejut dengan harga makanan di bazar tahun ini yang rata-rata agak mahal sehingga sebungkus nasi mencecah harga hampir RM10, meskipun mengetahui kenaikan itu mungkin disebabkan peningkatan kos bahan mentah.
“Pengguna adalah mangsa dalam situasi ini kerana kami tanggung kos kenaikan barangan untuk mengekalkan perniagaan mereka,” katanya.