Syarikat tak berkeuntungan akan ambil alih 4 syarikat konsesi lebuh raya

Syarikat tak berkeuntungan akan ambil alih 4 syarikat konsesi lebuh raya

Menteri kerja raya berkata, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad sudah menawarkan untuk membeli 100% kepentingan dalam empat syarikat konsesi lebuh raya di Lembah Klang.

Kementerian Kerja Raya berkata, empat syarikat konsesi lebuh raya di Lembah Klang telah bersetuju dengan tawaran pengambilalihan itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebuah syarikat tidak bermatlamat keuntungan yang baharu, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR), akan mengambil alih empat syarikat konsesi lebuh raya di Lembah Klang.

Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof dalam sidang media hari ini berkata, ALR menawarkan untuk membeli 100% kepentingan dalam semua empat syarikat konsesi itu.

Hasil semakan dengan kementerian itu mendapati empat syarikat terbabit telah bersetuju dengan tawaran berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa tiada lagi kenaikan kadar tol untuk Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

Ismail berkata, kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula konsesi tol bagi lebuh raya itu yang akan menyaksikan kadar tol sedia ada kekal sehingga tamat tempoh konsesi masing-masing.

Fadillah berkata, melalui proses penstrukturan semula ini, beliau berharap syarikat konsesi lain dapat mengikutinya bagi mengurangkan beban rakyat.

“Selain itu, bagi membantu ALR mencapai objektif mereka melalui pembelian ini, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh konsesi Kesas, LDP, Sprint dan Smart memandangkan tiada lagi kenaikan kadar tol.

“Bagaimanapun, lanjutan tempoh konsesi ini bukan hak eksklusif syarikat konsesi dan tertakluk kepada jumlah trafik serta analisis kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Fadillah berkata, kerajaan telah memastikan bahawa ALR akan mengekalkan semua kakitangan yang sedang berkhidmat di bawah keempat-empat syarikat konsesi sambil menambah bahawa status semua pekerja di bawah syarikat konsesi berkenaan adalah terjamin.

Fadillah mengulangi kenyataan Ismail hari ini dengan mengatakan bahawa pengambilalihan itu akan menyaksikan kerajaan menjimatkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion pampasan untuk menangguhkan kenaikan kadar tol sepanjang tempoh konsesi.

“Penjimatan ini boleh digunakan untuk projek pembangunan infrastruktur negara yang lain dan banyak lagi yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.