Kerajaan teroka model penswastaan bina jajaran WCE Banting-Gelang Patah

Kerajaan teroka model penswastaan bina jajaran WCE Banting-Gelang Patah

Langkah itu bertujuan mengoptimumkan pengurusan kos serta meningkatkan kecekapan fiskal negara.

WCE
Inisiatif bawah Kementerian Kerja Raya membabitkan dua projek utama iaitu jajaran baharu WCE hubungan selatan sepanjang 303.5km dari Banting ke Gelang Patah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju cadangan projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) hubungan selatan dan laluan baharu ke Putrajaya diteroka melalui model pelaksanaan secara penswastaan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-50 dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Katanya, langkah itu bertujuan untuk mengoptimumkan pengurusan kos serta meningkatkan kecekapan fiskal negara.

“Rundingan terperinci akan dilaksanakan bersama kerajaan negeri terlibat bagi memperkemas kaedah pelaksanaan dan menjamin impak ekonomi yang maksimum kepada penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan.

Inisiatif bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) itu membabitkan dua projek utama iaitu jajaran baharu WCE hubungan selatan sepanjang 303.5km dari Banting ke Gelang Patah.

Manakala, satu lagi projek ialah pembinaan jalan baharu sepanjang 118.7km menghubungkan Simpang Pelangai ke Putrajaya.

Laluan itu dirangka sebagai alternatif berkapasiti tinggi bagi mengurangkan kesesakan kritikal yang sering berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan (E2) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (E8).

Mengulas lanjut, KPKT berkata mesyuarat turut meneliti dua dasar utama perancangan spatial negara yang disediakan oleh kementerian itu.

Dokumen tersebut melibatkan Draf Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Draf Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) yang akan memacu hala tuju pembangunan fizikal Malaysia seimbang dan mampan.

“Mesyuarat bersetuju agar proses penelitian dan penyelarasan lanjut dilaksanakan bersama kerajaan negeri, termasuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebelum dokumen ini dimuktamadkan sepenuhnya untuk diterima pakai,” katanya.

Menurutnya, ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan perancangan negara sentiasa dinamik, inklusif dan berpandangan jauh demi kesejahteraan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.