Disyaki jual RON95 kepada kenderaan asing, 2 stesen minyak di Johor disiasat

Disyaki jual RON95 kepada kenderaan asing, 2 stesen minyak di Johor disiasat

Setakat ini, lima aduan penjualan minyak bersubsidi yang didakwa diisi kenderaan negara jiran.

Gambar tular di media sosial menunjukkan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dikatakan mengisi petrol menggunakan nozel berwarna kuning, disyaki minyak bersubsidi RON95. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat dua stesen minyak di Johor, selepas menerima aduan berhubung kenderaan bernombor pendaftaran negara jiran mengisi petrol bersubsidi.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, stesen minyak terbabit sudah dikenal pasti dan siasatan dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Setakat ini katanya, lima aduan diterima berhubung penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara jiran.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan pemeriksaan lebih ketat dan kerap di stesen minyak di Johor yang dikenal pasti.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam dalam temubual khas di Putrajaya hari ini.

“Tak banyak (aduan diterima). Terima lima aduan berkaitan pengisian kenderaan asing di Johor lepas pembukaan sempadan,” katanya dalam temu bual khas di KPDNHEP hari ini.

Terdahulu, gambar beberapa kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dikatakan mengisi petrol menggunakan nozel berwarna kuning, disyaki minyak bersubsidi RON95, tular di media sosial.

Ahad lalu, KPDNHEP dilaporkan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha stesen minyak, khususnya di sempadan negara yang menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Khairul Annuar Abdul Azi pula berkata, pihaknya berdepan masalah tenaga kerja tidak mencukupi untuk memantau pembelian RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Harga ayam

Dalam pada itu Azman memberi amaran tidak akan teragak-agak menggantung lesen peniaga yang menaikkan harga ayam.

Beliau berkata demikian susulan laporan harga ayam segar di Johor Bahru naik kepada RM10 bagi 1kg sejak Ahad lalu berbanding harga siling RM8.90 bagi setiap kilogram.

Pada 5 Feb lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata, harga siling itu akan dilaksanakan selama 121 hari dari 5 Feb hingga 5 Jun ini bagi menjamin kestabilan harga ayam dan makanan berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.