
Noor Aziah memuji inisiatif kerajaan negeri itu yang membolehkan kanak-kanak tanpa warganegara mendapat akses ke sekolah dan perkhidmatan perubatan pada kadar yuran sama seperti warganegara Malaysia.
“Selain daripada pencabulan hak kepada kewarganegaraan, orang tanpa kewarganegaraan sering terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia yang lain. Oleh itu, saya merayu kepada kerajaan Persekutuan untuk menerima pakai langkah yang sama untuk dilaksanakan di semua negeri.
“Saya juga memohon kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak dalam usaha progresif mereka bagi memastikan pihak berkepentingan dalam hal ehwal pendidikan dan kesihatan mengiktiraf dokumen sementara,” katanya dalam kenyataan.
Noor Aziah berkata, sejak penubuhannya, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) telah menerima banyak aduan berkaitan isu tiada kewarganegaraan, termasuk kelewatan mendaftar persekolahan, penolakan kemasukan ke sekolah, kesukaran mendapatkan akses kepada pendidikan dan kos perubatan yang tinggi.
Beliau mengingatkan bahawa ia bertentangan dengan kewajipan Malaysia selepas meratifikasi Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) pada 1995.
“Berdasarkan Seksyen 28 CRC, Malaysia wajib memastikan agar semua kanak-kanak di Malaysia, termasuk kanak-kanak tanpa dokumen memperolehi akses kepada pendidikan percuma,” katanya.
Katanya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pernah menyatakan dalam ucapan pada November bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat pendidikan yang sewajarnya dan persekitaran yang kondusif untuk tumbesaran dan Muhyiddin Yassin juga turut menyatakan perkara sama pada Mei tahun lalu.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Fatimah Abdullah berkata, dokumen sementara bagi mereka di bawah umur 21 tahun di Sarawak akan memberi mereka akses kepada perkhidmatan pendidikan dan kesihatan sementara memohon dokumen kewarganegaraan Malaysia.
Bagaimanapun katanya, dokumen itu bukan satu janji bagi mendapatkan status kewarganegaraan Malaysia.