SPRM masih siasat kes Rohana berkait USD10 juta wang 1MDB

SPRM masih siasat kes Rohana berkait USD10 juta wang 1MDB

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata proses siasatan masih dijalankan berhubung aset itu.

Azam Baki meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes bekas ketua pegawai eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Rohana Rozhan berhubung USD10 juta yang diberikan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, proses siasatan masih dijalankan berhubung aset itu.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta jangan membuat spekulasi tentang kes tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, sumber SPRM yang dipetik Utusan Malaysia berkata, Rohana yang dikatakan menjalin hubungan selama 10 tahun dengan Leissner, secara dasarnya bersetuju menyerahkan semula wang USD10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs itu.

Menurut laporan itu, SPRM giat mendapatkan wang itu selepas Rohana bersetuju menyerahkan aset yang diberikan oleh Leissner kepadanya yang dibeli menggunakan dana berkaitan 1MDB.

Leissner, saksi pendakwaan dalam perbicaraan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng di mahkamah New York berkata, dia memberi Rohana USD10 juta dan wanita itu membeli rumah bernilai USD7 juta di Montpelier Street, London.

Susulan itu SPRM mengambil keterangan daripada Rohana pada Februari lalu, selepas wanita terbabit menyuarakan kesediaannya untuk membantu siasatan pihak berkuasa.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang anti-rasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.