Adakah SPRM akan dakwa bekas CEO Astro, soal Guan Eng

Adakah SPRM akan dakwa bekas CEO Astro, soal Guan Eng

Pengerusi DAP itu menggesa SPRM mendedahkan sama ada bekas ketua pegawai eksekutif Astro Rohana Rozhan akan didakwa berkait skandal 1MDB.

Lim Guan Eng mendakwa Rohana Rozhan mempunyai maklumat berhubung skandal 1MDB tetapi menyembunyikan bukti.
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sama ada bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Astro Rohana Rozhan akan didakwa berikutan terdapat tanda menunjukkan wanita itu menyembunyikan maklumat mengenai skandal 1MDB.

Bercakap kepada FMT, Lim berkata, bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner memberi keterangan di mahkamah bahawa Rohana memeras ugutnya.

“Kini terdapat laporan bahawa dia bersetuju untuk memulangkan USD10 juta kepada pihak berkuasa,” katanya. “Saya berharap ini bukan penamat cerita.”

Terdapat laporan yang mendakwa Rohana menjalin hubungan selama 10 tahun dengan Leissner, yang merupakan saksi pihak pendakwaan dalam perbicaraan seorang lagi bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng di Amerika Syarikat (AS).

Dalam keterangannya Leissner berkata, dia membelikan Rohana sebuah rumah berharga USD10 juta di London pada 2013 selepas wanita itu mengugut untuk mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.

Keterangan itu mendorong SPRM untuk mengambil keterangan daripada Rohana pada Feb selepas dia menyatakan kesediaan untuk membantu pihak berkuasa melakukan siasatan.

Lim berkata, keterangan Leissner menunjukkan bahawa Rohana berperanan dalam skandal 1MDB.

“Dia mempunyai maklumat berkaitan skandal 1MDB tetapi menyembunyikan bukti,” katanya. “SPRM sepatutnya mendakwanya atau sekurang-kurangnya mendedahkan jika dia akan didakwa.”

Katanya, ini adalah antara sebabnya mengapa ramai yang percaya bahawa pihak berkuasa bersikap selektif dalam pendakwaannya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, ia masih lagi menyiasat kes Rohana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.