Kes basikal lajak: Petisyen bebas Sam raih lebih 300,000 tandatangan

Kes basikal lajak: Petisyen bebas Sam raih lebih 300,000 tandatangan

Warganet melancarkan petisyen meminta kerani, Sam Ke Ting yang dijatuhi hukuman penjara semalam atas kematian lapan remaja berbasikal lajak dibebaskan.

Sam Ke Ting dihukum enam tahun penjara dan denda RM6,000 selepas didapati bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 2017. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Satu petisyen mendesak agar Sam Ke Ting yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas kematian lapan remaja berbasikal lajak dibebaskan dilancarkan sejak semalam dan terus mendapat sambutan.

Petisyen yang dilancarkan oleh seorang individu dikenali sebagai Wan Junaida meletakkan sasaran awal untuk mendapatkan 300,000 tandatangan. Petisyen itu kini mendapat lebih 328,000 tandatangan.

“Kami rakyat Malaysia berasa ngeri dengan hukuman baharu Sam, di mana fakta menyokong bahawa dia adalah pemandu yang bertanggungjawab, mangsa sebenar dalam kemalangan ini.

“Kegagalan keibubapaan ibu bapa bakal mat rempit yang membenarkan anak-anak mereka berkeliaran di jalan dengan basikal yang diubah suai atau ‘basikal lajak’ pada pukul 3 pagi,” menurut petisyen itu.

Setakat 1 tengah hari tadi, seramai 328,772 warganet yang menandatangani petisyen tersebut. Sepanjang pemantauan dijalankan FMT, jumlah itu sentiasa bertambah setiap 30 saat.

Mahkamah Tinggi semalam menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas Sam, 27, selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak lima tahun lalu.

Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.