Rayuan Sam dalam kes basikal lajak didengar Isnin ini

Rayuan Sam dalam kes basikal lajak didengar Isnin ini

Menurut sistem dalam talian mahkamah, rayuan Sam Ke Ting ditetapkan pada 9 pagi 18 April ini di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Mahkamah Tinggi telah mengarahkan Sam Ke Ting menjalani hukumannya serta-merta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Permohonan Sam Ke Ting kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes basikal lajak akan didengar minggu depan.

Menurut sistem dalam talian mahkamah, rayuan Sam ditetapkan pada 9 pagi 18 April ini di Mahkamah Rayuan No 3 di Putrajaya.

Rabu lalu, kerani berusia 27 tahun itu dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak lima tahun lalu.

Tonton video di sini.

Semalam, peguamnya, Faizal Mokhtar memfailkan notis usul kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman melalui sistem e-filing mahkamah. Katanya, perakuan segera turut difailkan semalam.

Faizal memohon penangguhan pelaksanaan hukuman kerana mereka akan merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan, tetapi hakim Abu Bakar Katar menolak permohonan itu dan memerintahkan Sam menjalani hukumannya serta-merta.

Sam, yang didakwa mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi 18 Feb 2017, dibebas dan dilepaskan Mahkamah Majistret pada 28 Okt 2019 pada akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri.

Tetapi, pada 18 Feb 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan Sam membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Pada 10 Okt 2021, Mahkamah Majistret Johor Bahru sekali lagi membebas dan melepaskannya.

Susulan itu, pihak pendakwaan sekali lagi mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sam, yang berusia 22 tahun ketika kemalangan itu berlaku, dituduh di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM20,000, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.