
Shahrinnahar Abdul Latib dan Noraniza Kamsani adalah usahawan “lemang periuk kera” yang menjadikan jualan juadah itu sebagai pendapatan sampingan sejak 2018.
Shahrinnahar berkata, perniagaannya bagaimanapun terjejas pada 2019, selepas satu persatu pelanggan membatalkan tempahan susulan dakwaan tular yang mempertikaikan kebersihan periuk kera, selain dakwaan bahawa tumbuhan itu diancam kepupusan.
“Sebenarnya periuk kera ini mudah tumbuh, setiap kali saya datang di tempat sama pasti ada yang baru tumbuh menggantikan yang sudah diambil. Jadi tidak timbul isu pupus.

“Hanya tahun berkenaan isu itu tular, sekarang tidak lagi timbul dan permintaan pun semakin menggalakkan terutama selepas pandemik Covid-19 dan orang ramai mencari lemang kami,” kata bapa kepada tiga cahaya mata yang berusia 37 tahun itu.
Bercakap kepada FMT, beliau berkata, proses mencuci kelongsong periuk kera juga mengambil masa lama bagi memastikan tahap kebersihannya bagi menambah keyakinan pelanggan terutama selepas timbul dakwaan bahawa tumbuhan itu merupakan “mangkuk tandas” mamalia seperti kelawar dan tupai.
“Untuk 100 biji kelongsong ambil masa satu jam supaya ia benar-benar bersih. Kalau boleh kita hendak yakinkan pelanggan walaupun sepanjang kami mencari periuk kera tidak pernah pun nampak najis haiwan itu.

“Setakat ini pun tidak pernah saya terima aduan pelanggan sakit perut selepas menjamahnya,” katanya.
Shahrinnahar juga boleh tersenyum lebar selepas menerima tempahan lemang periuk kera berjumlah 800 biji sehari.
Katanya, tumpuan pencarian bahan mentah yang diperlukan adalah di sekitar belukar berdekatan jalan Kuantan-Maran.

Dari segi harga pula, pasangan itu menetapkan RM35 bagi 20 biji lemang periuk kera dan RM45 sekiranya ada permintaan tambahan rendang ayam.
Beliau berkata, berbeza dengan lemang biasa, lemang periuk kera lebih enak dan teksturnya juga lebih lembut, berbanding lemah buluh yang kebanyakannya tidak semua bahagian boleh dimakan.
“Sesiapa yang sudah merasainya pasti akan menjadi pelanggan tetap kami kerana rasanya lebih enak, selain rupanya yang eksotik dan sesuai dihidangkan kepada tetamu di pagi Syawal,” katanya.