
Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berkata acara itu juga perlu menyajikan makanan dan minuman halal serta diyakini kebersihannya serta kekal sebagai acara sosial, bukan mencampur adukkan amalan keagamaan.
“Jika sekadar jamuan sosial, tiada unsur keagamaan, ia adalah harus. Jika dibuat untuk memupuk perpaduan, mengerat persaudaraan, program terkawal dengan adab dan etika, ia amat digalakkan.
” Jika ada unsur ritual agama atau dibuat dalam ruang sembahan yang boleh menimbulkan kekeliruan akidah, ia boleh jatuh haram,” katanya dalam satu kenyataan.
Sheikh Umar berkata rumah terbuka Aidilfitri berkembang sebagai suatu adat dan alat sosial dalam budaya rakyat yang berfungsi sebagai medium mengeratkan silaturrahim dan memperkukuh keharmonian antara kaum.
Semalam, JHEAIPP melarang sebuah persatuan tokong di Butterworth untuk menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri memandangkan sambutan itu merupakan antara aktiviti keagamaan masyarakat Islam.
Pengarah JHEAIPP Marzuki Hassan, dalam satu surat bertarikh 31 Macb erkata jabatan itu menerima aduan daripada Persatuan Anak Jati Melayu berhubung acara anjuran Persatuan Tean Hock Keong.
Persatuan itu berkata penganjuran program itu bertujuan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Setiausahanya Ng Choong Seong berkata majlis itu dirancang dengan teliti selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Jabatan Integrasi Nasional Pulau Pinang serta melalui perbincangan dengan pemimpin utama masjid, surau, dan wakil persatuan tempatan yang bersetuju dengan penganjuran itu.
Beliau berkata makanan yang disediakan juga adalah halal dan disediakan oleh perkhidmatan katering milik penduduk tempatan sebagai tanda sokongan kepada komuniti setempat.
Susulan itu, Timbalan Ketua Menteri, Mohamad Abdul Hamid berkata satu ‘Majlis Jamuan Perpaduan’ akan diadakan di Butterworth bagi menggantikan majlis rumah terbuka berkenaan.
Katanya, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Zhao Zi Long Pulau Pinang akan menganjurkan majlis berkenaan bersama penduduk Bagan Ajam di Dewan Panorama Bagan Ajam, Butterworth, pada 11 April.