Mangsa banjir kilat di Pontian terus meningkat

Mangsa banjir kilat di Pontian terus meningkat

Seramai 168 individu daripada 31 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Tiga kampung terjejas akibat banjir di Pontian setakat ini, iaitu Kampung (Kg) Seri Segambut, Kg Jasa Sepakat dan Kg Bukit Panjang. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Mangsa banjir kilat di daerah Pontian terus meningkat kepada 168 individu daripada 31 keluarga dengan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian menerusi kenyataan memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bunian menempatkan 117 individu daripada 20 keluarga, manakala 32 individu daripada tujuh keluarga di SK Seri Bukit Panjang.

Menurutnya, PPS pertama dibuka di SK Melayu Raya menempatkan 19 individu daripada empat keluarga dengan keseluruhan tiga kampung terjejas setakat ini, iaitu Kampung (Kg) Seri Segambut, Kg Jasa Sepakat dan Kg Bukit Panjang.

“Banjir kilat berlaku disebabkan hujan lebat yang berterusan semalam kira-kira 5.30 pagi menyebabkan beberapa rumah di Pontian dinaiki air,” katanya.

Sekretariat JPBD Mersing menerusi kenyataan sama turut memaklumkan, satu PPS, iaitu di Kompleks Penghulu Mukim Jemaluang dibuka pada 7.30 malam tadi bagi menempatkan 31 individu daripada dua keluarga yang terlibat dalam kebakaran.

Menurutnya kebakaran yang memusnahkan dua rumah itu berlaku di Kampung Gajah Mati, Gersik.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, kebakaran tersebut mengakibatkan sebuah rumah yang musnah 95%, manakala sebuah lagi rumah musnah 60%.

Beliau berkata, panggilan kecemasan kebakaran rumah diterima pada 4.53 petang semalam dan susulan itu, 13 anggota dibantu BBP Endau dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Kebakaran dipadam sepenuhnya dan operasi tamat pada 7.39 malam semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.