Saifuddin, Rafizi berdebat 11 Mei

Saifuddin, Rafizi berdebat 11 Mei

Program 'Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?' selama 90 minit itu akan bermula pada 3 petang 11 Mei ini.

Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli bersaing untuk jawatan timbalan presiden PKR.
PETALING JAYA:
Dua calon timbalan presiden PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli akan berdebat pada 11 Mei ini.

Sinar Harian melaporkan Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisiannya, Rozaid Rahman berkata, program “Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?” selama 90 minit itu akan bermula pada 3 petang.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, ia akan disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian.

Katanya, debat itu menjadi medan atau pentas untuk menguji kredibiliti Saifuddin dan Rafizi dalam mengemukakan hujah berhubung isu semasa, kepimpinan dan masa depan PKR.

Ini kerana katanya, pemilihan PKR tahun ini dilihat sebagai petunjuk siapakah yang bakal mengambil alih pucuk pimpinan parti daripada Presidennya, Anwar Ibrahim.

Format “Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?” akan dimulakan dengan sesi pengenalan Saifuddin dan Rafizi, disusuli soalan sesama mereka serta daripada moderator.

Pemilihan PKR julung kali diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi Adil yang diperkenalkan pada 28 Feb lalu.

Proses pengundian dalam talian bermula 18 hingga 20 Mei ini selepas undian fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.