
Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim berkata, polis pada awalnya menerima laporan kejadian seorang lelaki berusia 49 tahun ditembak mati di hotel pada 7 malam kelmarin.
Susulan itu katanya, polis menahan lelaki berusia 49 tahun yang merupakan suspek utama di tempat kejadian.
Beliau berkata, hasil siasatan awal, pihaknya percaya ada dua lagi lelaki terbabit dalam kejadian itu, justeru operasi memburu suspek yang masih bebas dimulakan.
“Polis berjaya menahan dua suspek berusia 47 dan 51 tahun di Puchong, Selangor, pada 7 malam. Polis merampas dua pucuk pistol jenis Revolver .38 bersama enam butir peluru dan Semi Auto Beretta berserta lapan butir peluru serta satu kelopak peluru.
“Turut dirampas motosikal, dua topi keledar, dua helai baju, dua pasang kasut sukan dan satu topi serta tiga telefon bimbit yang disyaki digunakan semasa kejadian,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Azmi berkata, dua suspek yang berasal dari Kuala Lumpur itu dipercayai berada di hotel terbabit atas urusan dadah bersama mangsa dan suspek utama.
Katanya, hasil semakan mendapati mangsa yang berasal dari Johor itu mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah, culik dan bunuh, manakala suspek utama memiliki tujuh rekod lampau berkaitan dadah.
Beliau berkata, suspek utama direman enam hari hingga 9 Mei ini, manakala dua lagi suspek yang ditahan semalam akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan perintah reman hari ini.
Katanya, polis percaya penahanan tiga suspek itu berjaya menyelesaikan kes pembunuhan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan polis memburu dua lagi suspek berusia 40-an dan 50-an yang disyaki terbabit dalam kejadian seorang lelaki ditembak mati di sebuah hotel di Bukit Bintang.
Siasatan awal polis mendapati mangsa yang dikatakan mendaftar masuk ke hotel itu pada 6 petang kelmarin bersama seorang rakan lelakinya.