
Melihat kejatuhan ringgit berbanding dolar baru-baru ini, Mahathir berkata, ia turun naik kerana nilainya tidak tetap dan dijamin oleh kerajaan.
“Apabila kita tetapkan nilai ringgit pada RM3.80 satu dollar AS dan kita jamin bekalan dollar AS kepada sesiapa yang sanggup membayar RM3.80 untuk satu dollar AS, maka nilai ringgit tidak lagi akan turun naik.
“Peniaga mata wang pun tidak dapat turunkan nilai ringgit dengan menjual ringgit dengan banyaknya untuk jatuhkan nilainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahathir menceritakan bagaimana ini juga menjadi isu semasa krisis kewangan Asia 1997-98 apabila nilai ringgit jatuh kerana spekulasi oleh peniaga mata wang.
Beliau menetapkan nilai ringgit pada RM3.80 kepada 1 USD pada 1998 selepas menyalahkan spekulator atas kejatuhan mata wang Asia yang membawa kepada krisis kewangan di seluruh rantau ini.
Mahathir berkata, walaupun tindakannya itu pada mulanya dikritik, institusi kewangan seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa kemudiannya mengakui bahawa dasar itu menghentikan turun naik nilai ringgit dan membantu memulihkan kewangan negara.