Sarawak umum wujud dana berdaulat selepas kajian, kata Abang Jo

Sarawak umum wujud dana berdaulat selepas kajian, kata Abang Jo

Premier Sarawak berkata dana berdaulat penting dalam usaha negeri itu menguruskan pendapatan dengan lebih baik.

Abang Johari Openg kagum dengan kejayaan Norway dalam menguruskan dana kekayaan berdaulat negara itu, yang diiktiraf secara meluas serta diuruskan menerusi standard tadbir urus tertinggi. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kerajaan Sarawak akan mengumumkan keputusan untuk mewujudkan dana berdaulat sendiri setelah kajian mengenainya dibuat, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Beliau berkata, dana berdaulat adalah penting, dalam usaha negeri itu untuk menguruskan pendapatan dengan lebih baik, demi masa hadapan Sarawak.

“Apabila ekonomi berkembang, pendapatan berkembang, dana ini akan memberikan pendapatan yang baik kepada negeri kita.

“Sekarang kajian masih dibuat, selepas kajian dibuat mudah-mudahan kita dapat seperti negara Norway. Pengurusan yang cermat, telus dalam menguruskan harta, aset dan membangun untuk masa hadapan,” katanya di majlis ramah tamah Aidilfitri dan perasmian mesyuarat perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

Abang Johari juga kagum dengan kejayaan Norway, dalam menguruskan dana kekayaan berdaulat negara itu, yang diiktiraf secara meluas serta diuruskan menerusi standard tadbir urus tertinggi, sejak penubuhannya pada 1996.

“Pada awal dana daulat Norway tidak besar, hanya dua billion korona sahaja, namun sekarang dilaporkan mempunyai nilai keseluruhan USD1.34 trilion, jadi kita di Sarawak kalau dijaga dengan baik insyaallah akan seperti Norway,” katanya.

Sarawak telah mengumumkan akan bekerjasama dengan Norway, dalam usaha ke arah kejayaan pembentukan dan pengurusan dana kekayaan berdaulat sendiri, semasa Abang Johari mengadakan lawatan kerja dua hari ke negara itu, pada Isnin lalu, yang diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 di Rotterdam, Belanda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.