Muhyiddin batal jawatan Zuraida sebagai ahli MPT 2 minggu lalu, kata Hamzah

Muhyiddin batal jawatan Zuraida sebagai ahli MPT 2 minggu lalu, kata Hamzah

Setiausaha agung Bersatu berkata Zuraida Kamaruddin tidak aktif dalam parti dan lebih enam kali tidak menghadiri mesyuarat MPT, termasuk mesyuarat agung.

Pemakluman pembatalan jawatan Zuraida Kamaruddin sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi tidak dibuat sementara menunggu jawapan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan sebelum ini, kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatan Zuraida Kamaruddin sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu terbatal sejak dua minggu lalu susulan tidak hadir lebih daripada enam kali ke mesyuarat majlis berkenaan, kata Setiausaha Agung parti, Hamzah Zainudin.

Katanya, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sudah bersetuju melantik individu lain mengisi kekosongan jawatan berkenaan

“Presiden telah bersetuju dua minggu lepas untuk menggantikan beliau dengan orang lain. Jawatan dia sebagai ahli MPT yang dilantik presiden dengan serta-merta terbatal.

“Oleh sebab presiden ingin melantik orang lain ke jawatan tersebut selepas saya menulis surat tunjuk sebab kepada beliau (Zuraida), cuma saya belum maklum kepada beliau kerana hendak menunggu jawapan (surat tunjuk sebab),” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Hari ini, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar daripada Bersatu dan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Katanya, beliau akan membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Beliau bagaimanapun berpendirian untuk terus menyokong kerajaan di bawah pimpinan Ismail, selaras dengan pendirian PBM. Zuraida menyertai Bersatu selepas dipecat daripada PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Hamzah ketika mengulas lanjut berkata, jawatan Zuraida dalam Kabinet akan digantikan wakil Bersatu yang akan dipilih presiden dengan persetujuan perdana menteri.

Ditanya berkenaan impak tindakan ahli Parlimen Ampang tersebut kepada Bersatu, Hamzah yakin keputusan Zuraida untuk menyertai PBM tidak memberikan kesan kepada pihaknya.

“Dia sebenarnya tidak begitu aktif dalam parti. Bagi saya dengan tindakannya itu, dia sudah menunjukkan dirinya yang sebenar dengan hanya menggunakan parti untuk kepentingan sendiri.

“Kita telah hantar surat jemputan secara peribadi kepada setiap ahli tetapi beliau tidak hadir ke mesyuarat MPT lebih daripada enam kali, mesyuarat agung pun dia tidak hadir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.